Terima kasih Kerajaan Sarawak

KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak (CNS) menghargai kepimpinan Kerajaan GPS yang mengotakan janji untuk membayar bantuan khas RM500 kepada penjawat awam persekutuan di negeri ini.

Pengerusinya Ahmad Malie berkata, ia sama seperti diumumkan dalam Perhimpunanan Hari Penjawat Awam Negeri Sarawak pada hujung 2019.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah Kerajaan GPS turut mendengar rayuan kami agar pembayaran bantuan tersebut diawalkan daripada masa sepatutnya pada Jun 2020.

“Ternyata Kerajaan GPS telah mengumumkan bahawa bantuan tersebut akan dibayar lebih awal dalam bulan Mei sebelum sambutan Hari Raya dan Hari Gawai,” ujarnya menerusi kenyataan, semalam.

Tambahnya, pihaknya yakin kebanyakan penjawat awam bersyukur kerana telah menerima pembayaran bantuan tersebut sebelum Hari Raya dan Hari Gawai.

“Kami meletakkan keprihatinan Kerajaan GPS ini sebagai satu sejarah kerana ini kali pertama Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan khas kepada penjawat awam persekutuan di negeri ini.

“Sarawak menjadi negeri pertama malah, satu-satunya kerajaan Negeri yang memberikan insentif kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya mengajak penjawat awam bersama-sama mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan GPS.

“Justeru, kami sekali lagi mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan berharap hubungan baik di antara CNS dengan kepimpinan Kerajaan GPS dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Kami turut mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Persekutuan Sarawak kerana telah membantu melancarkan proses pembayaran bantuan tersebut.

“Dengan bantuan tersebut, ia membolehkan penjawat awam persekutuan di negeri ini menikmati insentif tersebut seperti yang dijadualkan,” jelasnya.

Suara Sarawak