Terima kasih Yb … maknanya terlalu besar buat kami sekeluarga

TANJUNG MANIS: Seorang kakitangan pelabuhan Tanjung Manis terharu atas keprihatinan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang menyumbang sebuah kerusi roda untuk kegunaan anak bongsunya.

Han Sanui, 54, bapa kepada Mohammad Baidrul Zamrie Fitri Han, 17, mengalami penyakit ketumbuhan di kaki kiri.

Menurut Han, penyakit yang dikesan sejak May lalu itu mengakibatkan pengerakan anaknya yang juga seorang insan kelainan upaya (OKU) menjadi terhad.

“Masalah ketumbuhan pada kakinya itu membatas keupayaan Mohammad Bairul sehingga bergantung kepada kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya di rumah. Memang sedih apabila mengenangkan nasibnya namun sebagai bapa, saya harus reda.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat (Yb) yang sangat prihatin dengan apa yang saya perlukan. Walaupun pemberian ini nampak kecil tetapi bagi kami sekeluarga ia sesuatu yang amat bermakna,” katanya.

Han berkata, kerusi roda yang disumbangkan ADUN N.41 Kuala Rajang itu meringankan beban keluarganya.

“Pemberian ini bukan sahaja menceriakan Mohammad Baidrul tetapi juga memudahkan kami untuk menguruskannya,” katanya

Sumbangan itu disampaikan Len Talif selepas menghadiri majlis perasmian Safari Memancing Tanjung Manis 2019.

Kerusi roda menceria dan memudahkan pergerakan Mohammad Baidrul.

 

Len Talif (tiga kanan) menyampaikan kerusi roda kepada Han Sanui (tiga kiri) sambil diperhatikan ketua masyarakat masyarakat setempat.