Terima tempahan 500 kg nanas Pada sehari

DALAT: Meskipun pandemik Covid-19 terus melanda dunia kini, terdapat beberapa kawasan zon hijau seperti di Dalat dan Mukah turut merasai impak khasnya dari segi ekonomi dan aktiviti sosial harian.

Namun perumpamaan berbudi pada tanah, pasti ada hasilnya sesuai menggambarkan kegigihan pasangan petani di kawasan Dalat, Caroline Lulu Jacob Esau, 51, dan suaminya Edward Ingei Francis Tabit, 64, yang mengusahakan tanah 10 ekar dengan hanya menggunakan tulang empat kerat bagi menanam nanas Pada atau nanas sawit.

Menurutnya, situasi Covid-19 memberi pulangan lumayan buat mereka sejak beberapa bulan ini apabila permintaan buah nanas Pada mendapat permintaan yang tinggi dari pengguna sekitar Mukah dan Dalat.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu hingga kini, saya merasakan rezeki kami semakin bertambah.

Ramai orang mahu membeli buah nanas ini. Mereka tidak boleh keluar jauh untuk mendapatkan bekalan, maka, mereka datang ke sini untuk membeli.

“Kami mendapat tempahan hingga 500 kilogram (kg) dalam tempoh satu hari, namun sebahagian jumlah tersebut tidak mampu dipenuhi.

“Jadi, kami mencari dan mengumpul buah dari rakan-rakan lain dan ditempatkan di satu tempat untuk dijual,” katanya sambil memberitahu satu kilo buah nanas Pada dijual pada harga RM2.

Menurut Caroline, kebanyakkan tempahan yang dibuat semasa PKP adalah untuk kegunaan sendiri seperti membuat jem atau membuat rojak bagi perniagaan kecil-kecilan termasuk dari restoran.

Pasangan itu mengusahakan tanaman nanas Pada sejak empat tahun lalu dengan hanya bermodalkan RM1,008 untuk membeli benih nanas tersebut.

Caroline turut menanam semula anak buah yang dihasilkan sehingga dapat menanam sehingga lebih 1,000 buah pokok nanas di tanah 10 ekar milik mereka.

“Kami hanya menanam dua jenis buah iaitu nanas Pada dan nanas Paun. Namun tumpuan hanya kepada nanas Pada ini kerana nanas ini dapat mengeluarkan banyak anak benih pada satu-satu masa.

“Nanas ini juga boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh lima bulan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Caroline akui pengalamannya yang bekerja di sebuah kebun sawit sebelum ini banyak membantu mereka mengusahakan tanaman berkenaan.

Sebagai salah seorang petani kecil yang mengusahakan sendiri tanaman tersebut, beliau berharap pelbagai pihak seperti Lembaga Nenas Malaysia dapat membantu mereka bagi menyediakan kemudahan tambahan seperti racun perosak, baja dan keperluan alatan bagi aktiviti pertanian.

“Saya sangat berharap agar kerajaan yang ada dapat memberikan kami bantuan jentera dan keperluan lain bagi para-para petani buah nanas Pada yang ada di Dalat ini.

“Tanaman ini dapat dikembangkan kerana ia satu-satunya buah nanas Pada yang ada di Dalat dan Sarawak khasnya,” ujarnya.

Suara Sarawak