Terkenangkan Krismas sebelum Covid-19

SABAN tahun, tarikh 25 Disember amat ditunggu-tunggu oleh penganut agama Kristian, lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Ia bukan sahaja musim cuti sekolah, tetapi merupakan hari yang cukup bermakna, sambutan Hari Krismas.

Seperti kebiasaan (sebelum wabak Covid-19), ia disambut meriah bersama-sama keluarga tersayang, sanak-saudara, sahabat-handai serta jiran dan penduduk di sekitarnya, sama ada di kampung mahupun bandar atau separa bandar.

Bagi mereka yang berjauhan dengan keluarga, ia merupakan tarikh yang dinantikan, untuk balik kampung, meraikan perayaan sambil melepas rindu.

“Hujan emas di negeri orang… hujan batu di negeri sendiri”, menyambut perayaan di kampung halaman lebih bermakna, bukan sahaja lambang kekeluargaan, tetapi juga sebagai ‘terapi’ diri dan keluarga, menikmati detik-detik manis bersama-sama keluarga tercinta.

Bagi yang berkeluarga besar, kesibukan mula terasa, beberapa hari sebelum Krismas, malah pasar raya kelihatan tidak pernah lengang, kerana sentiasa dikunjungi ramai untuk membeli-belah, sebagai persiapan untuk meraikan hari yang cukup bermakna.

Malah ia juga sebagai peluang untuk melihat keindahan persekitaran pasar raya yang dihias indah dengan lampu-lampu yang berkerdipan, dan lebih menarik tentunya pokok Krismas gergasi.

Di sinilah lokasi tumpuan, untuk merakamkan kenangan bersama-sama keluarga, rakan-rakan atau orang tersayang.

Sesi berswafoto tidak akan dilepaskan, kerana ia sentiasa menyimpan seribu satu kenangan untuk dibawa ke masa depan.

Bagi yang tinggal di kampung pula, suasananya mungkin lebih hebat, ditambah pula dengan suasana kampung yang mendamaikan, gara-gara siulan burung, tiupan angin senja, kocakan air sungai, dan panorama indah perkampungan.

Malah ada yang mengambil peluang untuk meraikan hari bersejarah, perkahwinan, tanda ikatan kukuh dua insan bercinta.

Pastinya ia akan diabadikan sebagai antara kenangan terindah dalam melayari kehidupan.

Namun buat pertama kali dalam sejarah, Krismas kali ini yang akan disambut Jumaat ini, pastinya menghadirkan suasana yang amat berbeza.

Segalanya berpunca daripada musibah pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak Mac lalu.

Oleh itu, Krismas kali ini pastinya akan disambut secara sederhana dan dengan penuh berhati-hati.

Sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak, ia diraikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Yang pasti, ia disambut dalam keadaan kelaziman baharu.

Kunjung-mengunjung pasti berkurangan, dan perhimpunan juga tidak dibenarkan.

Ini menyebabkan kemeriahan membeli-belah tidak begitu dirasai.

Ditambah dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, yang menjejaskan sumber pendapatan penduduk, menyebabkan Krismas 2020 bakal disambut dengan penuh sederhana atau ala kadar.

Bagi mereka yang berpendapatan rendah, sudah pasti banyak lagi perkara yang difikirkan selepas Krismas, terutama kelangsungan hidup.

Jadi mereka terpaksa berjimat cermat untuk menghadapi hari-hari mendatang yang serba tidak menentu, mungkin akan lebih mencabar lagi.

Oleh itu, kita harus memikirkan yang penting terlebih dahulu seperti membeli keperluan makanan asas, keperluan bayi, duit kecemasan, bil kesihatan dan sebagainya.

Dalam memerangi wabak ini kita juga harus akur terhadap prosedur yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Unit Agama-Agama Lain (Unifor).

Jangan memandang SOP tersebut dengan sebelah mata kerana akibat kelalaian kita wabak Covid-19 boleh menjadi bencana yang lebih teruk.

Sudah tentu kita tidak rela gelombang keempat Covid19 akan melanda selepas ini.

Sentiasa mengamalkan kebersihan harus menjadi amalan apabila kita berada di luar seperti mencuci tangan, menggunakan pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

Walaupun tahun ini Krismas tidak disambut secara meriah, tidak mengapa kerana apa yang lebih penting ialah kesihatan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Suara Sarawak