Semua sekolah di Sarawak akan dinaik taraf mengikut standard tertentu

Terlepas dari tali gantung

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
TERLEPAS: Perayu (berbaju biru) berbincang dengan Peguam Bela Simon Siah selepas rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.
TERLEPAS: Perayu (berbaju biru) berbincang dengan Peguam Bela Simon Siah selepas rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

KUCHING: Seorang bekas pekerja kem balak terselamat dari tali gantung selepas dakwaan membunuh isterinya lapan tahun lalu, ditukar kepada hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk See Mee Chun memutuskan bahawa pertuduhan membunuh Serberry Selih Kaya, 32, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memutuskan perayu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 4 Julai 2014.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati perayu tiada niat untuk membunuh mangsa.

Selain itu, ia tidak dapat menepati pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana niat membunuh oleh perayu gagal dibuktikan.

Mengikut pertuduhan dikurangkan, dia didakwa melakukan pembunuhan dan menyebabkan kematian isterinya berusia 52 tahun di koridor rumah flat mereka di Sibu Jaya antara jam 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari pada 4 Julai 2014.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fairuz Johari manakala perayu diwakili seorang peguam Simon Siah.

Menurut laporan media terdahulu, perayu menyerah diri di Balai Polis Sibu Jaya sebaik sahaja membunuh isterinya yang berusia 52 tahun kerana cemburu.

Dia yang diselubungi perasaan cemburu kerana isterinya yang bekerja sebagai tukang jahit jarang kembali ke rumah flat mereka di Sibu Jaya.

Sebelum kejadian itu, dia yang bekerja mengendalikan jentera berat di sebuah syarikat pembalakan merampas telefon bimbit isterinya untuk diperiksa dan tindakan itu menyebabkan mereka berdua bergaduh serta berlaku pergelutan.

Mangsa yang sempat melarikan diri dari rumah rebah di koridor rumah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius di bahagian leher.

Pasangan itu telah berkahwin pada tahun 2012 dan mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

23 Mac 2023

Berita Terbaru