KUCHING: Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) telah memecat ketua Wanitanya, Susan George @ Suhana Abdullah kerana didakwa terlibat dalam penipuan perumahan.
Keputusan itu dibuat pada Mac lalu dan surat penamatan pemecatan Susan daripada jawatannya ditandatangani oleh Presiden ketika itu Bobby William.
Menurut Presiden PBDS, Mejar (B) Moses Ripai dalam kenyataannya hari ini, Susan telah disingkirkan daripada jawatannya berdasarkan kepada perlembagaan parti.
Katanya, mengikut perlembagaan parti, pelantikan dan penyingkiran Ahli Majlis Tertinggi yang dilantik adalah hak prerogatif presiden.
“Lembaga disiplin parti akan mengambil tindakan dan bertindak berdasarkan laporan polis dan kes mahkamah. Beliau akhirnya akan dipecat sebagai ahli parti dan kami mempunyai perlembagaan parti yang perlu dipatuhi,” katanya.
Tambah Moses, parti di bawah pimpinannya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku anggotanya yang boleh merosakkan imej parti dan menggugat integriti dan disiplin parti.
Susan pada 30 Mei didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas 40 pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau didakwa memperdaya 37 orang sejumlah RM1 juta dari 2019 hingga 2023 dengan menawarkan untuk menjual rumah di kawasan Sibu Jaya di bawah harga pasaran dalam lingkungan RM120,000 hingga RM180,000 untuk rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar.
Susan bagaimanapun telah dibebaskan dengan ikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin.
Untuk rekod, Susan pernah bertanding di bawah tiket PBDS untuk kerusi Julau pada Pilihan Raya Umum 2022.