Terlupa padam api dapur, rumah teres hangus terbakar di Sri Aman

SRI AMAN: Akibat terlupa memadam api dapur ketika sedang menjerang air sebelum keluar dari rumah, dapur sebuah rumah teres yang disewakan enam sekeluarga hangus dalam satu insiden kebakaran di Lorong Dua Taman Pasir Panas, awal pagi tadi.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim, mangsa yang juga merupakan penyewa Tay Jui Song ketika kejadian dikatakan sedang menjerang air di dapur. Beliau selepas itu keluar ke pasar.

Katanya lagi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman menerima panggilan daripada Noria Kipli yang kebetulan berada di situ.

“Beliau dikatakan menelefon APM setelah mendengar bunyi letupan kuat dan melihat api serta asap tebal di bahagian dapur pada sebuah rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tiga Sri Aman PgB Nik Muhammad Afiq Nik Roslan mengesahkan insiden tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan kerana semasa kejadian rumah tersebut tidak berpenghuni.

“Api pada mulanya dikawal menggunakan dua unit alat pemadam api oleh jiran tetangga yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Sebaik bomba sampai, kita membuat ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep Receo dengan menggunakan satu aliran 200 kaki satu nozel air daripada pili bomba.

“Bomba turut mengalihkan silinder gas yang terbakar dan api dapat dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.

Operasi tamat sekitar 8:30 pagi.

 

Suara Sarawak