Teroka cara baharu urus sisa

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneroka cara baharu untuk menguruskan sisa yang tidak dapat dikitar semula.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata antaranya seperti teknologi baharu menggunakan suhu tinggi untuk membakar sisa berkenaan sehingga menjadi abu halus.

“Saya berharap Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dapat bekerjasama meneroka teknologi ini kerana kerajaan negeri sangat serius terhadap pemeliharaan persekitaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-20 Trienekens (Sarawak) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Stephen Chin.

Menurut Abang Johari, salah satu pendekatan yang diterima pakai oleh kerajaan Sarawak adalah memastikan dapat mengamalkan tenaga hijau sebagai sumber tenaga untuk membangunkan ekonomi.

Suara Sarawak