BETONG: Polisi pertanian tradisional harus diubah kepada cara yang lebih moden dan pintar.
Ahli Parlimen Betong itu Dr Richard Rapu berkata, dengan infrastruktur yang telah disediakan oleh kerajaan, banyak sudah rancangan dan polisi untuk pertanian moden ini dijalankan.
“Kita juga berharap ada syarikat besar yang mempunyai kelebihan dapat mengetuai untuk mengeluarkan produk dan juga pasaran global.
“Kalau konsep ini boleh digunakan di tempat kita, akan memudahkan para petani menjalankan aktiviti ditambah dengan sokongan kerajaan dari segi modal dan khidmat nasihat,” katanya ketika menjawab soalan daripada wartawan selepas Majlis Penutupan Pameran Pendidikan DTTAS 2023 di Dewan Panglima Rentap, Betong.
“Justeru itu, saya berharap agar kita dapat terbuka pemikiran menukar cara pertanian tradisional kepada cara yang baharu supaya dapat menambahkan hasil.
“Kalau diberi subsidi, berapa orang daripada kita yang telah berjaya dan kita patut menukar cara pertanian ini untuk membolehkan kita mengeluarkan produk supaya dapat dieksport.
“Ini adalah antara rancangan dan saya berharap ianya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” ujar beliau.
Berkaitan program yang direka khas untuk komuniti Dayak di Betong agar tidak tinggal daripada pelbagai peluang, beliau memberitahu pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan.
Katanya, ia termasuk menyediakan bengkel, pameran kerjaya, karnival pendidikan dan motivasi daripada pakar.
“Dalam dunia digital sekarang, peluang harus digunakan sebaik mungkin untuk memajukan diri,” kata Dr Richard.