Teroka potensi EKONOMI ANGKASA

KUCHING: Serba Dinamik Holding Sdn Bhd terus komited menyokong kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MISA) dalam meneroka potensi ekonomi angkasa baharu.

Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Holding Berhad Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah (gambar) berkata, tindakan itu selaras pelbagai peluang dalam bidang tersebut di negara ini.

“Sedia maklum industri angkasa juga sentiasa bergerak mengikut peredaran era setaraf sektor lain.

“Kami yakin ekonomi angkasa bukan sahaja dipenuhi pelbagai aktiviti yang menarik, malah pada dengan sumber yang boleh dimanfaatkan oleh manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Serba Dinamik dengan Agensi Angkasa Malaysia secara maya.

Menurut Karim, dengan pelbagai sumber yang diperlukan di angkasa, ia dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan penerapan teknologi dalam sektor ini.

Hal ini jelas kerana sektor angkasa banyak memerlukan penggunaan satelit dan juga rangkaian internet dalam menghubungkan masyarakat sesuai dengan keperluan teknologi yang diperlukan.

“Ekonomi angkasa baharu, bukan sahaja membuka peluang kepada pemain industri tanah air untuk menceburinya malah turut meningkatkan ekonomi negara dalam kadar yang cepat.

“Kewujudan ekonomi angkasa juga amat bertepatan dengan dua inisiatif nasional dalam memperkasa peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara,” katanya.

Beliau menambah, Serba Dinamik juga sentiasa memberi sokongan kepada pemain industri yang berkaitan dalam mempromosikan industri ekonomi angkasa pada masa akan datang.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Azlikamil Napiah dan beberapa wakil agensi lain.

Suara Sarawak