KUCHING: Penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah harus melihat serta meneroka potensi kedua-dua tanaman tersebut dengan lebih meluas khususnya dalam bidang kosmetik, farmaseutikal, kimia, tekstil dan etanol.
Adun Beting Maro Razaili Gapor berkata rumbia dan nipah merupakan tanaman strategik yang memerlukan penerokaan semula dengan suntikan inovasi berterusan dan teknologi pengekstrakan terkini.
“Selain cukup terkenal sebagai produk pelbagai guna, lebih penting dengan kemajuan teknologi dan penyelidikan, pengeluaran kedua-kedua produk boleh dikomersialkan.
“Ia bagi memberi pulangan pelaburan dan ekonomi terutama dalam pengeluaran biofuel seperti etanol yang bersifat mesra alam sekitar dan merupakan bahan tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan menyokong Rang Undang-undang Penubuhan Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Razaili menambah ia juga selari dengan cadangan penubuhan lembaga terbabit yang bukan sahaja menentukan hala tuju industri sagu dan nipah, tetapi membantu Sarawak kekal berdaya saing di pasaran global.
“Bukan sahaja dalam aktiviti huluan, namun termasuk hiliran agar Sarawak kekal sebagai pengeluar dan pengeksport sagu dan nipah terbesar dunia,” ujarnya.
Menurutnya, Sarawak kini menjadi pengeksport sagu terbesar dengan jumlah eksport sehingga 40,000 tan dengan nilai RM90 juta setiap tahun ke Jepun, Taiwan, Singapura, Semenanjung Malaysia dan negera-negara lain.
Sementara bagi produk utama nipah iaitu gula apong dari Kampung Tambak menerusi 250 pengusaha aktif berjaya menghasilkan 1,250 tan metrik bernilai RM12.5 juta setahun.