Terokai perniagaan atas talian

KUCHING: Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu langkah tepat untuk mendorong usahawan wanita memantapkan proses perniagaan di luar kebiasaaan mereka.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia kerana kebanyakan aktiviti pada masa ini bergantung kepada penggunaan media sosial berbanding sebelumnya.

“Sejak Ketua Menteri memperkenalkan Ekonomi Digital, kementerian saya melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak mendorong perniagaan atas talian melalui eusahawan yang dapat menyediakan pasaran yang lebih besar.

“Terdapat pelbagai kelebihan yang diperolehi melalui cara ini termasuk memudahkan proses pengurusan perniagaan dari rumah dengan hanya melakukan prapesanan melalui aplikasi yang digunakan,” katanya kelmarin.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak memperuntukkan 11 Bazar Ramadan Sarawakku Sayang (BROSS) atas talian di Facebook di beberapa tempat termasuk Kuching, Samarahan, Simanggang, Sarikei, Miri, Serian, Sibu, Bintulu, Kapit, Sibu, Mukah, Betong dan Sri Aman.

Selain memfokuskan penjualan produk atas talian, katanya, masyarakat perlu mengutamakan pengendalian dan keselamatan makanan yang baik bagi mengelakkan sebarang penyebaran penyakit berjangkit termasuk Covid-19.

“Peniaga perlu memastikan semua makanan yang dijual selamat untuk di makan, penyediaan masakan yang bersih dan pembungkusan yang tahan untuk sampai ke pelanggan,” tambahnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pustaka Negeri Sarawak yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Rashidah Bolhassan atas usaha menghasilkan 29 poster dan lima video untuk menyedarkan masyarakat mengenai pengendalian dan keselamatan makanan yang sesuai dengan arahan PKP.

Menurut Fatimah, pesanan itu dapat dijangkau termasuk masyarakat luar bandar kerana pengisian yang tersedia dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Iban dan bahasa Melayu Sarawak.

Terdapat pelbagai agensi seperti Ukas, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, 11BROSS yang didaftarkan dan dipantau oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak dan Pustaka Negeri akan berkongsi kepada kumpulan sasarannya sendiri melalui laman web dan platform media sosial.