Teropong pembuang sampah secara haram

SEBUAH trak muatan sampah sarap di sini berjaya dikesan oleh orang awam kerana membuang sampah secara haram di Jalan Deshon Khamis lalu.

Tindakan beberapa individu itu berjaya ‘diteropong’ orang awam yang kemudiannya menghantar gambar yang diambil itu menerusi aplikasi WhatsApp terus kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh pada masa yang sama.

Rentetan itu, Ting serta ahli majlis (Kaunselor) dan beberapa kakitangan Bahagian Kesihatan Awam MPS yang lain telah bergegas ke lokasi yang dilaporkan itu bagi menunggu pelakunya datang untuk membersihkan sampah sarap yang dibuang secara haram.

“Pihak kita telah berjaya mengesan pemilik trak berkenaan berdasarkan nombor plat pendaftaran dalam gambar yang diambil oleh orang awam.

“Kenderaan mereka juga kita rampas. Kami telah mengarahkan pelakunya untuk datang ke lokasi ini pada Sabtu bagi mengutip semula semua sampah yang telah mereka buang di sini,” katanya.

Ting berkata, kompaun telah dikenakan kepada pelaku berkenaan yang didapati melakukan pembuangan sampah secara haram dan kenderaannya turut dirampas serta diarah membersihkan segala sampah yang dibuang itu. “Kali ini segala sampah sarap di kawasan ini akan dikutip serta dibersihkan oleh pelakunya sendiri.

TING (kanan) bersama-sama kakitangannya menunggu pelaku untuk mengutip sampah yang mereka buang di Jalan Deshon.

Jika tidak, kenderaan mereka tidak akan kita lepaskan,” tegas beliau. Ting berkata, MPS telah mengenakan denda tidak kurang RM500 mengikut akta di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada pelaku berkenaan selain merampas kenderaan mereka dan diarahkan mengutip semula sampah-sarap yang dibuang.

“Saya mengingatkan orang ramai agar tidak berbuat demikian. “Buanglah sampah di tempat yang disediakan, misalnya di tapak pelupusan sampah.

“Dengan mengambil tindakan denda sedemikian, saya rasa ia boleh menyedarkan orang ramai bahawa tindakan membuang sampah di tempat-tempat awam boleh mengundang padah.

“Malah boleh dihadapkan di mahkamah walaupun ia bukan satu kesalahan besar. “Sekiranya anda berbuat demikian dan ia diketahui oleh orang awam yang merakamkan gambar anda tanpa pengetahuan anda, awas undang-undang menanti anda,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menggesa orang awam di sini agar melaporkan apa-apa sahaja masalah yang berkaitan di kawasan pentadbiran MPS demi manfaat dan kebaikan bersama bagi memastikan Sibu sebagai sebuah tempat yang indah dan selamat.

“Saya amat berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa bekerjasama dan membantu MPS menjaga kesejahteraan bandar Sibu,” jelas Ting.

Suara Sarawak