
KUCHING: Terpikat dengan tawaran gaji lumayan di Kemboja, enam lelaki tempatan menyedari mereka menjadi mangsa apabila pekerjaan dilakukan mereka berbentuk penipuan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya menerima enam laporan yang dibuat ahli keluarga mangsa, mendakwa ahli keluarga mereka telah diperdaya untuk bekerja di Kemboja pada 20 April dan 22 April lalu.
Katanya, mangsa adalah dari Daerah Kuching dan Padawan berumur antara 19 hingga 39 tahun.
Tambahnya, modus operandi bagi sindiket ini dijalankan dalam negara dengan merekrut warga tempatan dan menawarkan pekerjaan di luar negara sambil menjanjikan pendapatan yang lumayan.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati mangsa-mangsa telah ditawarkan peluang pekerjaan di Kemboja oleh ejen pekerjaan (suspek).
“Mangsa kemudiannya telah pergi ke kemboja dan setelah berada di sana, mereka berasa telah diperdaya setelah dipaksa untuk melakukan kerja penipuan melalui panggilan telefon,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Berikutan itu, Mohd Azman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, Bahagian Urusetia/ Perundangan JSJK Bukit Aman akan mengambil tindakan melalui Interpol Bukit Aman di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 untuk mengesan mangsa-mangsa di Kemboja dan seterusnya menjalankan tangkapan ke atas ejen pekerjaan yang terlibat.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran iklan kerja melalui laman sesawang atau media sosial dengan menawarkan gaji yang lumayan serta pelbagai kemudahan bagi menarik minat orang ramai untuk menghubungi mereka.
“Taktik ini digunakan untuk menjerat mangsa supaya berkerja dengan syarikat atau individu tertentu tanpa melalui proses pengambilan yang rumit.
“Pekerjaan yang ditawarkan menjanjikan pendapatan atau gaji yang lumayan tanpa disedari tawaran tersebut hanya menjadikan mereka sebagai umpan bagi sindiket penipuan mengaut keuntungan yang berlipat ganda,”jelasnya.
Justeru katanya, orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat dan individu tersebut sebelum menerima kerja yang ditawarkan.
Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 atau Commercial Crime Investigation Department (CCID) infoline di talian 013-2111222 (whatsapp/sms) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.
Selain itu katanya, orang ramai juga boleh melayari portal rasmi Polis Diraja Malaysia (rmp.gov.my), JSJK (ccid.rmp.gov.my) dan facebook JSJK sarawak untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung modus operandi kes penipuan.
