
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyerahkan kepada pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memuktamadkan pemilihan calon daripada parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini kerana semua calon perlu dimuktamadkan oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana hanya beliau mempunyai kuasa mengeluarkan surat watikah calon.
“Bagaimanapun saya tidak mengetahui siapa calon yang akan dipilih memandangkan terlalu ramai calon yang mahu bertanding di bawah tiket GPS.
“Sekarang terlalu ramai calon dan kita tidak tahu siapa yang akan dipilih. Sudah tentu saya gembira namun apa yang menjadi kebimbangan dalam situasi ini adalah musuh dalam selimut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kaunseling Sedunia Peringkat Sarawak di ibu pejabat SUPP di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak menambah, kesemua kerusi yang akan ditandingi oleh SUPP dianggap sebagai kerusi panas yang menjadi rebutan parti lain.
Sementara itu, beliau turut menggesa pengundi Sarawak supaya memastikan GPS memenangi kesemua 31 kerusi demi kestabilan politik negara.