SEMALAM kami meraikan 16 pelatih universiti yang bakal menghabiskan latihan di organinasi kami pada 9 Jun depan.
Pasti kenangan menjadi wartawan pelatih akan menjadi kenangan manis seumur hidup mereka kerana bukan senang bagi pelajar atau orang luar memasuki dunia kewartawanan yang sangat indah.
Saya tidak pernah bosan bercerita mengenai dunia kami. Kami tidak bekerja mengikut putaran masa. Kami bekerja di luar masa normal.
Mungkin sejak Covid-19, ramai yang terdedah dengan perkataan kerja dari rumah tetapi kami sebelum itu sudah kerja dari luar pejabat.
Ramai kawan-kawan menggelarkan saya sebagai ‘orang media’ dan ‘kerja glamor’.
Namun saya tak pernah rasa kerjaya ini sebagai glamor walaupun lebih 24 tahun dalam bidang ini.
Tiada sesiapa pun mengenali kami sebagai selebriti popular tetapi wartawan cukup popular dalam kalangan orang ternama.
Kacak? Cantik? Jelita?
Bukan kerana itu namun kerana gelaran ‘wartawan’ yang mereka bawa.
Itu yang saya selalu ceritakan kepada pelajar pelatih setiap kali mereka memilih organisasi kami sebagai tempat latihan industri.
Dua puluh empat tahun lalu ketika mula-mula turun membuat liputan, saya malu mengaku sebagai wartawan.
Saya macam inggar kedirik kata orang Melayu Sarawak, mengaku sebagai wartawan.
Sedangkan saya tidak sedar, gelaran itu sangat digilai dan diimpikan semua orang.
Saya malu bercampur dengan wartawan senior, saya tidak banyak cakap dan sering duduk di belakang setiap kali ada liputan luar.
Tetapi selepas beberapa bulan, ketika membuat liputan kebakaran besar, melihat ada mayat rentung dan bomba memberi laluan kepada kami untuk mendapat maklumat awal – saya mula sedar – inilah dunia saya impikan. Betapa seronoknya apabila diberi laluan kepada segala maklumat, identiti mangsa, tempat kejadian dan bagaimana kebakaran berlaku, saya seronok.
Apatah lagi apabila nama kita terpapar muka depan di dada akhbar saya lagi seronok.
Realitinya orang media dan wartawan menang dari segi populariti dan hubungan baik dengan semua orang sehingga ke pemimpin nombor satu negara.
Berbalik kepada pelatih kami tadi, saya rasa mereka cukup seronok dengan apa yang kami sediakan sepanjang tiga bulan mereka di sini.
Kami mengatur jadual dan struktur tugasan dengan lengkap.
Dua minggu pertama mereka didedahkan dengan penulisan berdasarkan kenyataan akhbar atau dalam bahasa popular media ‘press release.’
Dari sehelai kertas kenyataan akhbar mereka harus menjadikan ia menjadi berita lengkap.
Dari sini, mereka akan terdedah kepada hukum berita, apa yang harus diangkat menjadi pengenalan penting sesebuah berita.
Selepas dua minggu, mereka dihantar keluar membuat liputan bersama-sama wartawan sedia ada.
Dari sini, mereka didedahkan dengan dunia sebenar wartawan.
Mereka bertemu dengan orang media lain, mereka berkenalan dengan organisasi media luar sana.
Di sini, jika bijak mereka membina jambatan sedikit demi sedikit untuk menonjolkan diri dengan organinasi lain.
Kerana daripada 16 orang, kami takkan mengambil kesemuanya kerana tiada jawatan kosong.
Lagi satu, walaupun kesemuanya terbaik kami takkan menawar peluang sama banyak dan jika mereka berniat menyertai kami – saya pandai mencari mereka balik apabila sampai waktunya kelak.
Ramai wartawan sedia ada dengan kami merupakan bekas pelatih industri.
Seorang yang menunggu panggilan setahun setengah – selalu bertanya, bila ada kosong.
Tepat pada masanya, kami ambil sebagai wartawan sepenuh masa.
Dia mengakui, bersama organisasi kami mereka berpeluang untuk terus belajar.
Bukan mahu angkat syarikat seperti angkat bakul sendiri, tidak.
Dengan kami pada 2022, telah diadakan 26 kursus dengan menjemput orang lama media yang kami terbangkan khas dari Semenanjung, selebriti media, penerima Anugerah Kajai malah wartawan senior dan pelbagai peringkat individu berkaitan media.
Kursus dan bengkel ini bertujuan yang kami yakin yakin mereka yang kami ada, menyimpan bakat besar yang harus digilap hari demi hari.
Semuanya perlukan bimbingan supaya wartawan dibimbing dengan cara yang betul.
Saya juga percaya, mereka belajar dan sentiasa mahu memperbaiki kelemahan.
Jangan anggap diri sudah pandai dan jangan pula anggap diri mereka jumud.
Dunia media ini seronok, cukup seronok sehingga kadangkala kita lupa diri, bukan selalu kadangkala.
Saya selalu berpesan kepada wartawan muda, mana ada kerjaya yang boleh memegang dunia seperti mereka.
Carilah dalam lingkungan kerja kawan-kawan, apakah kerja yang masanya lebih fleksibel daripada kami?
Tetapi satu-satunya kekurangan dunia kami ialah penyunting wanita – di mana-mana, kebanyakan bilik editorial diterajui oleh lelaki. Mungkin kebanyakan wanita tidak berminat menjadi ketua atau dilihat kerana subjek itu wanita.
Laporan media 2020 oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) Rantau Asia-Pasifik menyatakan, sebanyak 83.3 peratus responden bersetuju organisasi mereka mempunyai wanita menyandang peranan berjawatan tinggi namun nisbah wanita untuk jawatan kanan editorial rendah daripada lelak.
Justeru bagi wartawan wanita sedia ada sekarang, berusaha untuk menukar kedudukan mereka dalam jawatan penting editorial sekurang-kurangnya menjadi penyunting.
Wartawan wanita harus lebih menonjol dan perlu dilatih untuk menjadi editor supaya nisbah sedia ada seimbang.
Wartawan wanita juga harus menjadi tulang belakang merakam sejarah dan peristiwa penting negara.
Dan, mereka hari ini juga harus benar-benar bersedia untuk diangkat menjadi editor – yang bukan setakat menyunting namun harus mengetuai bilik editorial.
Hakikatnya tidak kira lelaki atau wanita, wartawan muda perlu mengasah bakat mereka supaya dapat menggantikan tempat yang kami tinggalkan suatu hari nanti.