ARTIKEL

Pengunjung Teo Yit Siew, kongsi keterujaan hadir mengenakan busana baju kurung batik.

Teruja hadir meriahkan sambutan Hari Kebangsaan, sanggup beli baju kurung batik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Teo Yit Siew tidak pernah memiliki baju kurung atau baju batik sebelum ini, namun hari ini beliau begitu ayu mengenakan baju kurung batik untuk bersama-sama menyertai ribuan rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya.

“Saya tidak pernah ada baju kurung atau baju batik, tapi kali ini saya beli semata-mata untuk pakai sempena Hari Kebangsaan,” kata Teo yang pertama kali datang untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan.

Anak kelahiran Klang, Selangor berusia 37 tahun itu berkata penampilan beliau dalam busana batik itu adalah bagi menzahirkan rasa patriotik sebagai anak Malaysia serta menyahut saranan kerajaan dalam memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

“Baju kurung batik sangat cantik dan warnanya amat menarik perhatian. Saya rasa cantik pakai baju kurung batik, tidak semestinya dipakai orang Melayu sahaja, tetapi boleh digayakan oleh sesiapa sahaja tak kira kaum,” katanya yang tiba di Putrajaya pada pukul 4 pagi.

Pada 26 Ogos lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata orang ramai digalakkan memakai pakaian batik ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 bagi menunjukkan sokongan padu kepada industri batik tempatan.

Pesara kerajaan, Kamarudin Muhamed, 69, yang mengenakan kemeja batik berkata beliau hadir bersama isterinya Norlia Mustafa, 67, bagi menyaksikan acara bersejarah negara secara dekat.

“Sebelum ini kami tengok di rumah menerusi siaran langsung di kaca televisyen, tetapi tahun ini terdetik di hati untuk datang, mungkin sebab dekat dengan rumah,” katanya yang merupakan pesara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi pelajar Diploma Sains Aktuari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Sofiyyah Khairil, dia memilih mengenakan persalinan batik hari ini kerana merasakan ia satu identiti negara dan perlu diangkat sebagai kelainan pada majlis yang istimewa seperti sambutan Hari Kebangsaan. 

“Kalau di Korea Selatan, baju tradisional handbok menjadi kebanggaan rakyatnya malah telah berjaya dipromosikan kepada pelancong, jadi mengapa di Malaysia, kita tidak berbuat perkara yang sama? 

“Saya percaya dengan coraknya yang kini lebih moden dan disesuaikan dalam pelbagai bentuk termasuk blaus, ia boleh pergi jauh di mata dunia,” katanya yang sangat meminati baju kurung Batik Terengganu.

Bagi penjawat awam Imad Ariffin, 22, pula, beliau telah diajar oleh kedua-dua ibu bapanya untuk menghargai pakaian batik ketika usia seawal 10 tahun, jadi adalah tidak janggal untuknya menggayakan busana tradisional itu pada bila-bila masa.

Sementara itu, pengunjung dari Sabah Mohd Azrin Abdul Rashid, 32, dan Joitoh Tinggu, 49, pula tampil segak berbusana tradisional kaum Kadazan.

Kedua-dua penjawat awam itu berasa teruja hadir buat kali pertama untuk merakam kenangan sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu. – BERNAMA

BERITA LAIN

FAHMI KECAM TINDAKAN UGUT, ANCAM KESELAMATAN WARTAWAN

KUCHING: Kerajaan memandang serius dakwaan ahli politik menyerang dan mengugut wartawan sebuah portal berita berbahasa Tamil baru-baru ini.Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau berpendirian bahawa

BERITA TERBARU