Teruja tawaran RM8,888, hilang RM17,632

SIBU: Hilang RM17,632 akibat teruja dengan wang sebanyak RM8,888 yang kononnya disediakan melalui e-dompet Boost selepas menerima tawaran melalui WhatsApp di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, sekitar jam 12.15 tengah hari mangsa berusia 25 tahun merupakan seorang pereka bentuk, menerima panggilan yang memaklumkannya dia menang hadiah Boost.

“Mangsa diminta untuk memberi butiran akaun bank miliknya dengan memasukkan ke dalam satu pautan yang disediakan oleh pemanggil.

“Mangsa kemudian diminta agar memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) yang dihantar ke telefon bimbitnya,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Stanley, sekitar jam 2.10 petang, pengadu menerima panggilan telefon dan memberitahu wang tersebut masih tidak mencukupi kerana berkaitan dengan cukai hasil. “Pengadu memindahkan wang sebanyak RM300 untuk mencukupkan wang sebanyak RM1,000. Kemudian pengadu diminta menyerahkan butiran akaun.

“Setelah membuat semakan, pengadu mendapati wang berkurangan sebanyak RM1,000 daripada akaun bank. “Pengadu diberitahu wang masih tidak mencukupi dan pengadu meminta bantuan daripada adiknya untuk memasukkan butir diri dan akaun banknya ke dalam laman sesawang yang diberi,” ujarnya.

Sekitar jam 4.30 petang adik pengadu memeriksa akaunnya dan mendapati wang dalam akaunnya sebanyak RM10,888 lesap. “Pengadu juga memeriksa akaun bank dan mendapati wang sebanyak RM6,744 daripada tiga akaun bank juga telah lesap,” ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.