Trending

Teruna’s Sate raih rezeki lumayan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KOTA SAMARAHAN: Sekecil-kecil perniagaan akan memberikan hasil lumayan kepada peniaga jika terus konsisten dalam perniagaan.

Begitu juga dengan Teruna Julai, 36, dari Kampung Naie Baru, Kota Samarahan yang mula menjual sate sejak tujuh tahun lepas di kampungnya.

Kini Teruna mengorak langkah membuka gerai jualan berdekatan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di Kota Samarahan.

Ketika mula-mula membuka jualan sate, Teruna mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 untuk membeli barangan jualan dan hanya berniaga di kawasan kampungnya.

“Sejak itu saya nekad mempelajari resipi perapan sate daripada YouTube dan mengolah rasanya dari semasa ke semasa supaya sesuai dengan cita rasa masyarakat tempatan.

“Sejak bulan lapan tahun lepas, kini hampir setahun saya membuka gerai yang dinamakan Teruna’s Sate di lokasi baharu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kini Teruna menjana pendapatan lebih RM4,000 sebulan secara konsisten dengan anggaran pendapatan kasar sebulan mencecah RM15,000.

Teruna mula membuka gerainya seawal 9 pagi hingga 6 petang dan turut memberi peluang pekerjaan kepada tiga anak buahnya untuk menjaga gerai jualan.

Selain itu, dia turut berkongsi rezeki dengan lima ahli keluarganya yang lain untuk menyiapkan setiap perapan dan cucuk sate yang dijual.

“Setiap hari, sekitar 1,000 hingga 1,500 cucuk sate dibawa ke gerai menggunakan lori dan ditambah jika mendapat permintaan tinggi pada hari tersebut.

“Antara sate yang ditawarkan ialah sate ayam, daging, buntut ayam, bahagian lain ayam seperti jantung, hati, tulang belakang, leher dan tongkeng ayam.

“Kami juga menjual ayam panggang tetapi hanya pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad kerana hanya pada hari tersebut ramai pelanggan ingin membeli ayam panggang,” jelasnya.

Teruna terus mengembangkan ruang perniagaannya dengan mengikuti pelbagai pesta jualan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak di sekitar Kuching dan Kota Samarahan.

Menurutnya, baru-baru ini mereka turut membuka gerai jualan yang dianjurkan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Tidak lama lagi, Kota Samarahan juga menganjurkan pesta makanan berhampiran pasar raya Lepapa, kami bercadang untuk menyertai acara tersebut untuk pelanggan yang berpotensi.

“Untuk jualan di majlis itu, dua gerai jualan tetap dibuka jika tenaga kerja mencukupi agar pelanggan dapat membeli sate di tapak asal kami,” tambahnya.

Menurutnya, salah seorang peniaga di tempat tersebut mengesyorkan kepadanya untuk membuka gerai di situ kerana potensi pelanggan yang singgah di kawasan tersebut.

Selain itu, tempat tersebut turut membuka rezeki kepadanya kerana berhampiran dengan pasar basah yang merupakan lokasi kegemaran masyarakat di kawasan berdekatan untuk membeli barang.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru