Terus berdiri teguh di belakang GPS

LIMBANG: “Kami bertekad untuk terus berdiri teguh di belakang GPS”, ujar Ketua Cawangan PBB Bukit Kota Hikmal Fariatin Mohd Ali Saufi.

Itulah janji yang dilaungkan oleh Pemuda Cawangan Bukit Kota semasa Program Jelajah GPS di dewan Kampung Pahlawan, di sini semalam.

Ujarnya, Parti GPS sudah terbukti memberi banyak bantuan serta sumbangan bakti kepada rakyat khususnya golongan belia.

“GPS selama ini sudah terbukti bersungguh-sungguh membantu rakyat dan golongan muda dengan pelbagai program pembangunan.

“Banyak pembangunan baik dari segi infrastruktur, pendidikan, peluang pekerjaan ditambah pula dengan pelbagai jenis bantuan dan subsidi dinikmati oleh masyarakat setempat,” katatanya.

Turut hadir, Adun Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Bukit Kota Niti Rosli, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Kota Sufian Mohat, Ketua-Ketua Masyarakat, dan tetamu kehormat lain.

Menurut Hikmal, jelajah GPS kali ini menghimpunkan sebanyak tujuh ranting PBB dengan jumlah ahli seramai 482 orang di mana 246 daripadanya terdiri dari kalangan golongan muda.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang hari tersebut termasuklah pertandingan memasak, pertandingan gusti tangan, pertandingan bayblade dan banyak lagi.

Suara Sarawak