Terus patuhi PKP

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru setiap lapisan masyarakat terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandang jumlah korban yang agak tinggi bagi Sarawak.

Katanya usaha sedaya upaya sedang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“Antara langkah-langkah yang harus terus dipatuhi ialah memastikan tiada perhimpunan diadakan selagi keadaan tidak mengizinkan dan mengamalkan disiplin diri dari segi kesihatan agar jangkitan dapat dikekang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi mereka yang ada mempunyai “kontak” dengan individu yang telah disaring positif, Abang Johari meminta agar golongan terbabit berhubung segera dengan pihak kesihatan terdekat untuk menjalani saringan.

Dalam pada itu, beliau berharap agar masyarakat tabah menghadapi PKP, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan dan perayaan Gawai Dayak tidak lama lagi.

“Keadaan semasa tidak membenarkan kita melakukan ibadah puasa atau menyambut perayaan Gawai seperti keadaan biasa dan saya amat berharap kita semua tabah menghadapi segala kekangan semasa berkuat kuasanya PKP.

“Saya dengan kesempatan ini bagi pihak Kerajaan Sarawak ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan kepada seluruh kaum Muslimin di negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Gawai Dayak kepada kaum Dayak memandangkan perayaan Gawai akan tiba tidak lama lagi,” katanya.