Trending

Terus-terusan Menulis

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

kepada pelbagai respons, komen dan penilaian.

Sekiranya respons atau penilaian itu positif, ia tentunya akan menjadi pemangkin atau pendorong kepada penciptaan baharu.

Andai kata reaksi khalayak agak muram atau penilaian bersifat negatif, dikhuatiri ia boleh menggugat semangat kepenulisan seseorang yang berkeinginan untuk menjadi seorang penulis.

Namun bagi sesetengah orang, komentar atau penilaian terhadap karya atau penulis itu sendiri, meskipun negatif, dianggap sebagai satu cabaran baharu kerana komen itu dilihat sebagai satu pengiktirafan akan kebermaknaan karya tersebut.

BANYAK BERFIKIR

Dilihat dari sudut lain, proses penulisan memaksa seseorang untuk banyak berfikir, dan berfikir secara kritis, analitis dan secara bertanggungjawab.

Apabila berkomunikasi secara lisan, ruang waktu untuk berfikir secara mendalam atau untuk memberi reaksi secara tuntas agak terbatas, berbanding dengan berkomunikasi secara bertulis.

Apabila menulis, seseorang individu mempunyai masa yang jauh lebih panjang untuk berfikir, dan kerana itu berpeluang untuk memilih perkataan atau kata-kata, dan merangkai ayat untuk menjadikan luahan perasaan atau huraian idea dan pandangan yang lebih kemas, jelas dan teratur.

Dalam dunia pendidikan yang penulis ceburi, penulisan yang baik turut menyumbang kepada pembentukan diri sebagai profesional yang lebih berkesan, sama ada semasa berperanan sebagai seorang pendidik dalam membicarakan hal-hal akademik ataupun semasa menghasilkan karya kreatif.

Yang amat jelas penulis sendiri alami ialah hakikat bahawa apabila meluangkan banyak masa untuk merangka dan menghasilkan tulisan, penulis sekali gus belajar untuk meningkatkan keupayaan serta kecekapan untuk berkomunikasi secara lisan dan menzahirkan idea dan pemikiran dengan lebih tepat.

Merujuk kepada pengalaman peribadi, menulis memberi penulis banyak kebaikan dan manfaat dalam memaknakan kewujudan sebagai seorang guru atau dalam mengertikan kehadiran sebagai seorang penulis.

Sebagai seorang pendidik amnya, dan sebagai seorang guru dalam bilik darjah khasnya, pengalaman peribadi dalam bidang penulisan akademik telah dapat membantu penulis untuk memahami dengan mendalam dan juga secara kritis bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan.

Pada masa yang sama, pengalaman itu juga banyak membantu penulis untuk menghurai dan menyampaikan konsep yang kompleks ke dalam bahasa dan bentuk penyampaian yang lebih mudah difahami, sama ada secara bertulis atau lisan.

Pengalaman berkongsi ilmu dalam bilik darjah dan bilik kuliah atau berinteraksi dengan teman-teman sejawat dalam pelbagai bentuk majlis ilmu yang serba mengesankan dan memanfaatkan, penulis dapati terhasil secara bermakna antaranya adalah kerana penglibatan peribadi penulis dalam penulisan bahan-bahan yang berkaitan dengan mata pelajaran, kuliah atau penyelidikan.

Kegiatan penyelidikan yang sangat penting dalam pembangunan serta perkembangan dunia pendidikan, penulis dapati lebih mudah dijalankan dan hasil dapatannya lebih senang dikongsikan sekiranya insan yang terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan itu menyenangi dan menggemari penulisan.

Penyediaan kertas cadangan, pengumpulan data, huraian tafsiran dapatan dan laporan hasil penyelidikan, semuanya menuntut kemahiran dan kecekapan menulis.

Tanpa kemahiran dalam bidang penulisan bahan-bahan ilmiah, proses penyelidikan dan pelaporan dapatannya, sama ada dalam bentuk kertas laporan atau tesis, tidak mungkin dapat dikonsepkan dan dikongsikan dengan berkesan. 

ASPIRASI

Ditempatkan dalam dunia penulisan kreatif pula, penulis berpandangan bahawa minat, bakat dan kecekapan menulis membuka ruang kepada individu untuk mengungkapkan pemikiran, aspirasi dan bicara jiwa kesenimanannya dengan berkesan.

Melalui penulisannyalah seseorang penulis itu dapat menzahirkan harapan, perasaan dan keluh kesahnya dalam bahasa yang indah.

Melalui hasil penulisannya juga mereka dapat berkomunikasi dan membina hubungan dengan insan-insan lain di merata-rata tempat. 

Ketersentuhan perasaan atau perkongsian rasa suka duka antara sesama insan akan lebih terkesan sekiranya gaya dan cara penulisan itu diolah berpandukan kekuatan berbahasa dan kecekapan menulis.

Sama ada seseorang itu menulis untuk kepuasan kreatif diri, luahan perasaan dan aspirasi, perkongsian pengalaman dan pandangan, atau sekadar memenuhi arahan pentadbiran, penulis berpandangan bahawa hasil tulisan itu akan berjaya mencapai matlamat atau tujuannya sekira penulisan itu berkualiti dari aspek isi kandungan atau mesejnya dan juga dari aspek bentuk dan penyampaiannya.

Dilihat dalam konteks ini, iaitu pembangunan dan perkembangan pendidikan, pertumbuhan dan perkembangan peribadi, dan pengayaan dunia penulisan, insan yang terlibat dalam dunia penulisan, termasuk penulis sendiri, justeru tidak boleh lari daripada tanggungjawab peribadi untuk secara terusterusan berusaha menimba, menjana dan berkongsi ilmu dan kemahiran berkaitan dengan bidang kepakaran masing-masing dan juga bidang penulisan.

Perlu diingatkan bahawa menulis membuka pintu rahmat dan melebarkan jendela kreativiti kerana antara lain dengan menulis seseorang individu itu akan dapat meningkatkan kecekapan berkomunikasi, memupuk disiplin diri, memupuk kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, merapatkan hubungan atau jurang perbezaan generasi, membina keyakinan diri, dan meningkatkan kemahiran sosial.

Dalam kata lain, melalui penulisan yang bertanggungjawab, seseorang individu akan berkembang dan membangun, secara perlahan tetapi pasti, menjadi insan yang lebih baik dan berguna kepada masyarakatnya.

Latar belakang sosiobudaya dan perjalanan pendidikan yang dilalui, meyakinkan penulis bahawa penulisan bukan sahaja mengajar dan mendidik, tetapi ia memberi keyakinan diri untuk berani berfikir dan menjana sesuatu yang berada di luar kebiasaan. 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

SANGGAR PUISI

SARAH ROSS4 November 2023Bukit Katil. Maafkan Untuk Ingatan  Yang Sering

HUJAN JATUH KE PASIR

Karya: AMERSARAWAKSADONG JAYA. “Salam… semua. Ada tak sesiapa yang ada

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru