Terus utamakan kepentingan rakyat

KUCHING: Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu (gambar) yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi Dun.

Katanya lagi, Pemuda PBB yakin GPS akan menjadi pilihan utama rakyat Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) yang akan datang.

“GPS pasti diberi mandat sekali lagi oleh rakyat untuk terus menerajui negeri ini berasaskan prestasi, pencapaian dan polisi kerajaan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Justeru katanya, Pemuda PBB akan terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri.

Dengan itu katanya, Pemuda PBB berdiri bersama Abang Johari selaku Pengerusi GPS dalam menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kestabilan negara.

Menurut Gerald, kebijaksanaan pucuk kepimpinan Muhyiddin Yassin di peringkat Persekutuan dan Abang Johari di peringkat Negeri membolehkan negara dapat menangani Covid-19 dengan berkesan melalui pendekatan prihatin rakyat.

“Pemuda PBB menyambut baik sokongan moral yang dilafazkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke arah memastikan kemenangan besar GPS dalam PRN-12, namun memberi peringatan supaya Bersatu tidak campur tangan dalam jentera parti ketika pilihan raya”, katanya.

Suara Sarawak