Teruskan aktiviti ibadah guna media sosial

KUCHING: Pemimpin agama tetap mengambil inisiatif untuk meneruskan aktiviti ibadah seperti biasa melalui platform media sosial, berikutan larangan ke tempat ibadah yang dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ustaz Hashim Man merangkap Imam Satu Masjid Attaqwa Kampung Pinang Jawa, mendedahkan bahawa pelbagai program keagamaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu demi keselamatan semua pihak.

“Tempoh ini merupakan satu detik yang amat mencabar bagi kami semua ekoran kesan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara.

“Bagaimanapun, diharapkan wabak ini dapat ditangani dengan baik supaya bebas melakukan aktiviti harian terutamanya aktiviti keagamaan seperti sedia kala,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut beliau, pihak jawatankuasa Masjid Attaqwa Kampung Pinang Jawa tetap menunaikan solat lima waktu seperti biasa di masjid dengan mengehadkan lima orang jemaah yang hadir.

Katanya, tindakan tersebut adalah untuk menghidupkan semula suasana solat lima waktu yang sepatutnya dilakukan secara beramai-ramai seperti sebelumnya.

“Meskipun kita tidak melakukan program-program aktiviti keagamaan secara bersemuka dengan jemaah, namun pihak masjid tetap mengendalikan beberapa program seperti doa tahlil, bacaan yasin, berzikir dan banyak lagi melalui siaran langsung di Facebook.

“Tindakan ini adalah untuk memudahkan jemaah lain untuk mengikuti aktiviti yang kita jalankan di rumah masing-masing,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pengalaman sebagai seorang imam masjid sepanjang PKP, beliau turut menjelaskan bahawa terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi ekoran pergerakan yang dikawal.

Katanya, terdapat segelintir pihak yang kurang faham dan menyangka aktiviti yang dilakukan secara langsung di media sosial dihadiri oleh ramai pihak.

Beliau turut menambah bahawa setiap solat dan sembahyang yang diimamkan sepanjang PKP juga tidak dilakukan secara besar-besaran kerana dihadiri empat jemaah sahaja di masjid.

Jelasnya, diharapkan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan dengan segera dan semoga semua masyarakat dapat bersabar dan muhasabah diri sepanjang tempoh ini.