Trending

Teruskan amalan kunjung mengunjung semasa perayaan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan agama perlu meneruskan amalan kunjung mengunjung semasa perayaan supaya dapat memulih dan mengukuhkan semangat keharmonian serta perpaduan di kalangan semua rakyat seperti suatu ketika dulu.

Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian berkata kehidupan zaman dahulu dan sekarang sangat berbeza, apabila perpaduan telah hancur kerana isu-isu perkauman dan agama telah memecah-belahkan kaum secara perlahan-lahan.

Justeru, beliau berkata amat sedih dengan polarisasi masyarakat dan cara masyarakat melihat isu-isu yang biasa dari perspektif kaum dan agama yang telah menyebabkan ketegangan dan kecurigaan di kalangan rakyat biasa.

“Apakah sebab atau penyebab di sebalik perubahan ini? Mungkinkah kerana ahli politik dan pemimpin memainkan dasar pecah dan pemerintah?” katanya dalam perutusan Hari Raya, hari ini.

Menurut Baru yang juga Adun Ba’Kelalan, di Sarawak, rakyat bangga dengan hakikat bahawa negeri ini berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata benar-benar berharap bahawa Sarawak berbeza dan akan mengekalkan perbezaan itu, sekali gus akan terus menjadi contoh dalam semangat keharmonian dan penerimaan semua kaum tanpa batasan.

“Ini adalah keinginan saya untuk hidup kembali zaman 70-an ketika kita memeluk satu sama lain sebagai teman dan tetangga, ketika kita mempunyai satu identiti iaitu orang Sarawak, manakala bangsa dan agama adalah isu sampingan atau tidak penting dalam persahabatan,” katanya.

Menceritakan kisah silamnya yang membesar pada era 60-an dan 70-an, Baru berkata masih mengingati kenangan manis, terutamanya apabila menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan perayaan Tahun Baru Cina.

Katanya pada masa itu, beliau dan rakan-rakan tidak sabar untuk melawat rakan sekelas bagi menyambut perayaan mereka.

“Kami langsung tidak kisah untuk berjalan kaki di bawah matahari terik walaupun jaraknya agak jauh.

“Semua rumah terbuka kepada semua orang dan tiada keperluan untuk jemputan. Kami disambut dengan ikhlas ke setiap rumah yang kami kunjungi,” katanya.

Mengimbau kembali keseronokan bersama rakan sekelas, Baru berkata mereka berjalan sejauh tiga batu dari SMK Limbang ke bandar Limbang untuk melawat semua rumah di sepanjang jalan yang meraikan perayaan tertentu.

“Setelah sampai di kota, kami akan berjalan balik sejauh tiga batu untuk kembali ke sekolah, dengan perut yang kenyang dan penuh bersemangat.

“Pada masa itu, kami merasakan hubungan yang begitu akrab sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bersatu dalam identiti yang sama sebagai rakyat Sarawak, yang hidup bersama secara harmoni, penerimaan meyeluruh dan menghargai kepelbagaian agama, budaya dan tradisi kita.

“Itulah masanya kita sebagai sebuah masyarakat yang benar-benar diikat dengan semangat muhibbah,” katanya.

Baru turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya masyarakat Islam di Sarawak; ‘Maaf Zahir dan Batin’.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru