Teruskan pembelajaran dari rumah

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyifatkan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menangguhkan sesi persekolahan sembilan daerah iaitu Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri merupakan tindakan tepat.

Pengerusinya Adam Prakash Abdullah berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira keselamatan semua pihak yang terlibat dalam sesi persekolahan.

“Ibu bapa, murid dan guru sudah tentu lega khususnya mereka yang berada di kawasan yang tidak selamat untuk bergerak beramai-ramai kerana ini akan mendedahkan mereka kepada bahaya.

“Justeru, STU merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada JPBNS kerana telah mempertimbangkan rayuan warga guru dan ibu bapa dalam penangguhan pembukaan sekolah di kawasan yang kurang selamat ini,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

STU jelasnya, berharap semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan murid akan menggunakan peluang untuk terus menyertai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar tiada yang tertinggal.

“Duduklah di rumah dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik ini
dan guru juga diminta terus berkhidmat dari rumah dan memastikan pengajaran dan pembelajaran diteruskan dengan baik.

“Bimbinglah anak-anak sekolah dengan apa-apa cara sekalipun agar pendidikan dapat diteruskan untuk semua,” tegasnya.

Beliau memaklumkan, STU juga menghargai usaha JPBNS yang mewujudkan jawatankuasa di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri ini dapat berjalan lancar serta selamat.

“STU akan sentiasa menyokong usaha murni JPNS dan MESTR dalam membantu serta menjaga kebajikan guru di Sarawak,” tegasnya.

Menjelas lanjut beliau memaklumkan, jika terdapat keperluan untuk menangguhkan sesi pembukaan sekolah pada masa akan datang, STU berharap semua guru dapat meneruskan PdPR dengan baik.

“Guru juga perlu sentiasa memastikan semua murid tidak tercicir dan menyertai sesi pembelajaran yang dijalankan kerana inilah pengorbanan seorang guru kepada anak didiknya.

“Guru juga diminta meningkatkan pengetahuan dalam penggunaan item (tools) untuk kelas dalam talian,” ujarnya lagi.

Pada 26 Febuari lalu, JPBNS memutuskan pembukaan sesi persekolahan di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri ditangguh selama dua minggu lagi berkuat kuasa 1 hingga 14 Mac ini.

Selain itu, JPBNS juga mengambil keputusan tersebut setelah mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ia juga setelah mengambil kira kapasiti sistem kesihatan di kawasan yang terlibat.

Suara Sarawak