Teruskan projek yang tertunda

DALAT: Beberapa projek pembangunan diteruskan selepas kawasan ini kembali bertukar kepada zon hijau Covid-19, jelas Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, beberapa projek kini diteruskan selepas tertangguh kerana pandemik Covid-19.

“Bagi projek membina bumbung gelanggang futsal di Kampung Sungai Kut Muara, kami teruskan kerana sebelum ini pekerja yang melaksanakan projek ini berasal dari Kampung Sungai Ud yang dikenakan PKPD.

“Tandas awam juga dibina dan dimasukkan dalam Projek Tebingan Sungai Dalat untuk fasa kedua dan ketiga. Ini merupakan projek rakyat,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerjanya di beberapa kawasan di Dalat.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak itu berkata, fasa kedua projek Tebingan Sungai Dalat melibatkan pembinaan laluan sepanjang 170 meter.

Katanya, Majlis Daerah Dalat dan Mukah dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak akan menyelaras projek berkenaan.

“Sebagai tambahan, mulai 20 Mac 2021 kawasan di sepanjang tempat parkir di sekitar tebingan ini juga akan dinaik taraf serta diturap.

“Selain itu, projek jalan tebingan Kampung Sungai Kut Hulu juga diluluskan oleh Pegawai Daerah Dalat dan telah dimasukkan ke dalam Projek Jalan Perhubungan Desa.

“Di samping itu, kami juga telah melawat rumah penduduk kampung di Dalat iaitu Japardin Jeman.

Kerja baik pulih dinding dapur serta lantai termasuk atap juga akan kita laksanakan.

Ini bagi membantu keluarga ini dengan kos RM15,000 secara keseluruhan,” jelasnya lagi.

Manakala projek tertangguh iaitu Projek Benteng Hakisan di SK St. Kevin melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) perlu dinilai semula termasuk naik taraf jalan simen melibatkan kos RM455,000.

Fatimah turut bertemu dengan JKKK, ahli jawatankuasa parti PBB, ahli jawatankuasa surau, ahli jawatankuasa Chapel dan Beliawanis Sungai Kut Muara.

Seterusnya beliau turut menyampaikan cek bernilai RM5,000 untuk penganjuran Pesta Kaul Kampung Sungai Kut Muara bagi tahun 2021 kepada JKKK Kampung Sungai Kut Muara.

Selain itu penyerahan cek bernilai RM15,000 bagi Program Bantuan Baik Pulih Rumah, bantuan baik pulih bumbung, lantai dapur dan dinding dapur rumah Japardin Jeman.

Suara Sarawak