Tetapkan strategi penguatkuasaan SOP masing-masing

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan meminta semua syarikat pembinaan yang mempunyai projek, kilang termasuk ladang untuk menyerahkan strategi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di premis masing-masing.

Selain itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya juga telah meminta semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sama ada di kampung atau rumah panjang untuk menetapkan pelan penguatkuasaan bagi kawasan masing-masing.

“Kami dimaklumkan bahawa sebuah syarikat telah berjaya dalam mengelak kakitangannya terjejas akibat jangkitan Covid-19, jadi inilah sebab kita minta juga premis-premis lain berbuat demikian.

“Ini kerana kita tidak boleh terlalu mengharapkan polis untuk pergi ke tempat-tempat ini termasuk rumah panjang atau kampung, sama-sama kita menjaga diri dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) lama di sini, hari ini dan turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Manakala mengulas mengenai kebenaran beroperasi bagi pasar-pasar seperti pasar tani, pasar tamu dan pasar malam, Uggah berkata ia bergantung kepada keputusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, perkara ini kita serahkan kepada PBT sama ada mereka patut buka atau tidak pasar di dalam kawasan seliaan masing-masing.

“Keputusan ini juga harus merangkumi kapasiti mereka untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan SOP diikuti dan dipatuhi,” katanya.