Tetapkan upah minimum luar bandar

KUCHING: Kerajaan perlu menetapkan upah minimum bagi kawasan luar bandar dan pedalaman dengan mengambil kira kos sara hidup dan pengangguran yang tinggi.

Penganalisis Ekonomi Datuk Dr Madeline Berma berpendapat, gaji minimum yang ditentukan di bandar raya dan bandar tidak mengambil kira kos hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

Jelasnya, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Malaysia (2019) yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sarawak mencatatkan pendapatan pertengahan (median) RM4,544 dan pendapatan purata RM5,959.

Manakala kata Madeline, Sarawak juga mencatat pendapatan boleh guna RM3,994. “Dari segi perbelanjaan untuk penggunaan, didapati secara purata rakyat Sarawak menggunakan 67.7 peratus daripada pendapatan boleh guna untuk perbelanjaan penggunaan.

“Peratusan ini lebih rendah berbanding isi rumah di Malaysia yang menggunakan sebanyak 68.7 peratus daripada pendapatan boleh guna untuk membiayai perbelanjaan penggunaan,” ujarnya.

Dari segi kemiskinan beliau berkata, Sarawak didapati antara negeri yang mempunyai kemiskinan yang tinggi di negara kita, iaitu 9.0 peratus kemiskinan mutlak, dan 15.2 peratus kemiskinan relatif berbanding Malaysia iaitu 5.6 peratus miskin mutlak, dan 15.2 peratus kemiskinan relatif.

“Walaupun kerajaan telah memperkenalkan subsidi untuk mengawal harga barangan keperluan asas yang dijual di luar bandar supaya sama dengan yang dijual di bandar, namun ia hanya terhad kepada tujuan barangan keperluan asas. “Kos pengangkutan telah menyebabkan barangan lebih mahal di luar bandar.

Selain mewartakan upah minimum untuk bandar raya dan bandar di negara, saya berharap kerajaan juga perlu menetapkan upah minimum bagi kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Suara Sarawak