KALAU tiada pekerjaan untuk kita, maka kita perlu cipta pekerjaan sendiri, kata pemilik The Shark House, Fazree Nazrim Duri, 33.
Sebelum ini, dia pernah memohon banyak jawatan dan pekerjaan, namun menghampakan kerana saingan. Justeru, ia mendorong Fazree untuk membuka perniagaan sendiri.
“Saya gunakan nasihat dan pesanan pensyarah untuk membina dan meneruskan perniagaan yang dijalankan sekarang.
“Memang tidak dinafikan, bidang pelajaran saya di universiti jauh berbeza dengan bidang yang saya kerjakan.
“Saya mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dan kini menyediakan perkhidmatan jual beli dan membaiki telefon,” katanya kepada Suara Sarawak.
Kata Fazree, The Shark House ditubuhkan pada Julai 2021.
Pada awalnya, ia hanya menyediakan perkhidmatan baik pulih telefon bimbit sebelum mendapat permintaan untuk menjual telefon.
“Berbekalkan pengalaman dalam jual beli telefon serta pemasaran, kami mengambil inisiatif untuk menyediakan jualan telefon baharu dan terpakai,” ujarnya.
Dedahnya, terdapat dua kisah dalam permulaan perniagaan jual beli dan baiki gajet ini.
“Jual beli telefon bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan pada waktu itu tiada pekerjaan yang dapat dilakukan. Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengambil bekalan telefon dan menjualnya.
Pada awalnya, kami menjangkakan kurang sambutan, tetapi sebaliknya kerana sambutan agak memberangsangkan dan mengambil peluang ini untuk memulakan jual beli telefon dengan serius.
“Selepas itu, kami mempelbagaikan jualan seperti televisyen, kamera papan pemuka, bank kuasa dan gajet lain,” jelasnya.
Dedahnya, bagi perkhidmatan baik pulih telefon bermula selepas telefon miliknya kerap rosak.
“Pada waktu itu, saya baru tamat pengajian dan belum mempunyai pendapatan.
Untuk baik pulih telefon saya perlu menghantarnya ke Kuala Lumpur kerana ada rakan yang membantu membaikinya.
“Namun, kos tersebut memakan kos yang agak tinggi dan disebabkan itu, saya meminta rakan untuk mengajar membaiki telefon.
“Alhamdulillah, ilmu itu masih digunakan sehingga sekarang dan menjadi perniagaan,” katanya lagi.
CABARAN
Dalam masa yang sama, Fazree berkata agak sukar untuk mendapatkan bekalan gajet di Mukah dan terpaksa mendapatkannya dari luar Mukah atau Semenanjung Malaysia.
Ia disebabkan bekalan terhad dan terdapat halangan daripada pembekal.
Pun begitu, dia dia mempunyai ramai kenalan dari Semenanjung Malaysia memudahkannya untuk mendapatkan bekalan.
“Saya pernah membuat jualan diskaun dan sambutan amat menggalakkan.
“Terdapat cabaran yang perlu dihadapi seperti pesaing, risiko rugi, kekangan bekalan alat ganti, ragam pelanggan dan sebagainya.
“Namun, sebagai usahawan, kita wajib tahu cara untuk menangani masalah tersebut dengan bijak dan pantas serta kreatif dalam menyediakan bahan pemasaran,” jelasnya lagi.
PENGALAMAN
Fazree turut berpesan kepada anak muda untuk tidak memilih pekerjaan sebaliknya mencari banyak pengalaman.
“Gunakan pengalaman yang ada untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
“Sekiranya tidak mendapat pekerjaan, cipta pekerjaan dengan perniagaan.
“Gunakan ilmu atau kemahiran yang ada dan jadikan ia sebagai modal untuk perniagaan kelak,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, dia juga berharap agar perniagaannya terus maju dan dikenali ramai bukan hanya di Sarawak, malah Semenanjung Malaysia, Sabah serta Brunei.
Fazree juga berharap agar dapat membuka cawangan di luar Mukah pada masa akan datang.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Facebook The Shark House atau terus ke kedai mereka di Medan Ria Setiaraja Mukah.