KUCHING: Rakyat Sarawak digesa untuk tidak terpengaruh dengan senario dan gaya politik Semenanjung Malaysia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, negeri ini aman dan tidak berlaku pergaduhan sesama sendiri.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara.
“Pergaduhan di sana (Semenanjung Malaysia) jangan dibawa ke Sarawak. Di sini tidak ada gaduh-gaduh.
“Sebaliknya, kita fokus kepada rakyat, kita bina dan beri rumah untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas penyerahan surat hak milik tanah, cek pampasan tanah dan kunci rumah Skim Penempatan Semula Darul Hana di sini, hari ini.
Sementara ditanya adakah Kerajaan Sarawak akan melarang Hadi daripada memasuki negeri ini seperti yang disyorkan oleh Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Liwan Lagang, Abang Johari berkata ‘kita tidak perlu diheret dalam isu tersebut’.
Terdahulu, Liwan yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) menggesa supaya kerajaan mengharamkan Hadi daripada memasuki negeri ini seumur hidup berikutan kenyataannya tidak sensitif.