Tiada isu minyak masak di Sarawak

KUCHING: Bekalan minyak masak di Sarawak adalah mencukupi dan harganya terkawal.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan, pada masa ini, terdapat 13 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh Sarawak meliputi kawasan Kuching, Bintulu dan Miri.
“Jumlah pengedaran adalah sebanyak 3,865 metrik tan minyak masak bersubsidi setiap bulan untuk diedarkan di seluruh Sarawak termasuk di kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan KPDNHEP Sarawak komited dalam memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas syarikat pembungkus minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peringkat pemborong dan peruncit.
“KPDNHEP Sarawak telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan serta pemeriksaan secara berterusan ke atas kedudukan bekalan minyak masak di seluruh Sarawak, meliputi seluruh rantaian pengedaran iaitu pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan mana-mana peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dan menaikkan harga minyak masak boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“KPDNHEP Sarawak akan terus giat dan konsisten melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan rantaian pengedaran pemborong dan peruncitan tidak terjejas dan bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi untuk semua pengguna,” katanya.
Pada 2016, kerajaan melalui KPDNHEP hanya memberikan subsidi kepada minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kilogram sahaja sehingga ke hari ini.
Tujuannya bagi memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga RM2.50 sekilogram.

Suara Sarawak