Tiada jalan pintas naik pangkat

KUCHING: Universiti Teknologi Mara (UiTM) antara universiti yang mempunyai sistem dan proses tapisan kenaikan pangkat paling ketat di Malaysia, kata Rektor UiTM Cawangan Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Menurutnya, sebagai universiti terbesar di negara ini, pengurusan UiTM amat menitik berat nilai integriti dalam kalangan warganya terutama yang melibatkan akademik bagi memberikan pendidikan terbaik kepada masyarakat.

“Bagi pensyarah atau penulis di UiTM Sarawak, mereka mesti menghantar manuskrip atau jurnal kepada penerbit yang dijadikan aras tanda oleh akademik.

“Antaranya ialah penerbit yang berdaftar dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan penerbit antarabangsa yang terkenal seperti Wiley, Springer.

“Selain itu, jurnal hendaklah diindeks oleh WoS atau Scopus, khasnya WoS melaksanakan proses pemilihan jurnal dan audit yang ketat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.

Tambahnya, UiTM Sarawak turut mempunyai Koordinator UPenerbit yang berfungsi untuk memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada warga universiti berkenaan hal penulisan dan penerbitan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (Pendapat) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof.

Datuk Dr. Norzaini Azman bahawa ada dalam kalangan ahli akademik, pensyarah sanggup menggunakan jalan pintas demi mengejar pangkat untuk mendapatkan gelaran profesor dan profesor maya.

Tegasnya lagi, semua hasil akademik UiTM akan melalui tapisan atau saringan sebelum boleh diterbitkan atau dibentang  dalam mana-mana konferensi sama ada dalam atau luar negara.

“Justeru, kebarangkalian wujud jalan pintas di UiTM sangat kecil disebabkan faktor tapisan dan saringan yang terperinci dan sangat ketat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya proses kenaikan pangkat pensyarah UiTM dilaksanakan secara dalam talian melalui sistem yang dibangunkan dengan semua pemohon perlu memuat naik semua hasil akademik seperti penerbitan, penyelidikan, perundingan dan penyeliaan.

“Setiap permohonan pensyarah dinilai terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Kesepakaran di peringkat kampus dan  kemudian oleh Jawatankuasa peringkat Gugusan di UiTM Shah Alam.

“Semua bahan akademik dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan mesti disahkan penilai yang pakar dalam bidang berkenaan sama ada di dalam negara atau luar negara.

“Sekiranya hasil akademik mencapai tahap yang ditetapkan, permohonan akan diproses dan perlu melalui proses temu duga sebelum layak dinaikkan pangkat,” jelasnya.

Katanya, semua warga UiTM Sarawak wajib merujuk beberapa sumber untuk mengelakkan penerbitan di dalam jurnal atau penerbit yang disenarai hitam oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), laman sesawang https://beallslist.net/ yang menyenaraikan jurnal pemangsa dan penerbit serta sentiasa mengikuti senarai terkini daripada laman sesawang Elsevier yang sentiasa dikemas kini dalam tempoh satu dan dua bulan.

Terdahulu kenyataan Norzaini wujud pensyarah dan ahli akademik yang menerbitkan tulisan akademik atau kajian menggunakan jurnal pemangsa (predatory journals) sebagai jalan pintas mencapai penunjuk prestasi utama (KPI) demi mengejar kenaikan pangkat.

Malah katanya, data menunjukkan penerbitan jurnal tidak berkualiti dalam kalangan ahli akademik di negara ini berada pada tahap yang amat membimbangkan dan Malaysia berada di tangga kelima dalam kecenderungan menerbitkan jurnal pemangsa.

Suara Sarawak