PADAWAN: ‘Tiada jurang antara majlis dan rakyat’ menjadi visi utama pengerusi baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Tan Kai setelah menjawat jawatan tersebut hari ini.
Beliau yang mengetuai 31 ahli yang lain mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MPP berkata, ia bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Visi kedua ialah menaik taraf tempat pelancongan untuk menjadikan MPP sebagai destinasi paling menarik di Sarawak.

“Ketiga ialah menambah baik infrastruktur bagi menjadikan Padawan sebagai kawasan yang kondusif kepada penduduk dan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli MPP di Dewan MPP di sini, hari ini.
Majlis angkat sumpah tersebut disaksikan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Mengulas lanjut, Tan Kai merangkap Setiausaha Politik Premier Sarawak menambah, visi seterusnya ialah menyediakan perkhidmatan mesra perniagaan yang penting untuk kemakmuran perniagaan.
“Akhir sekali adalah mengawasi alam semula jadi dan melindungi alam sekitar. Visi ini selaras inisiatif Kerajaan Sarawak dalam Pelan Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS30) serta memenuhi Pelan Pembangunan ‘Greater Kuching’,” ujarnya.
Dalam pada itu Tan Kai berkata sudah tentu akan ada cabaran baru untuk beliau selain daripada perkhidmatan konvensional seperti kutipan sampah, pemotongan rumput, pembersihan saliran, tampalan berlubang, penyelenggaraan pasar dan taman rekreasi.