Tiada keperluan gagasan baharu

ASAJAYA: Tiada keperluan untuk mewujudkan satu gagasan besar antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadapi PRU-15, tegas Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Naib Presiden Parti PBB itu berkata, GPS sudah menjalinkan kerjasama melalui penubuhan Kerajaan Persekutuan dan sudah mempunyai persefahaman yang baik.

“Adakah kita perlu menandatangani perjanjian? Ketika anda menandatangani perjanjian, ia menggambarkan kita tidak mempunyai kepercayaan antara satu sama lain.

“Secara peribadi saya berasa perkara ini tidak perlu kerana kita telah bekerjasama dalam membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Kampung Tambirat di sini pada Ahad.

Tambah Abdul Karim lagi, PN, BN dan GPS perlu memastikan hubungan yang terjalin ketika ini menjadi lebih baik dan kukuh pada masa akan datang.

“Lagipun parti di Sarawak – GPS, kita tidak berminat untuk meletakkan calon di Semenanjung Malaysia dan mereka (PN) tidak perlu risau dengan kita.

“Sebaliknya perkara yang perlu dirisaukan ialah mereka (PN) ingin meletakkan calon dan bertanding di Sarawak… rakyat di negeri ini juga tidak akan gembira dengan perkara itu,” tambahnya.

Adun Asajaya itu juga menjelaskan, GPS akan sentiasa menjadi sebuah parti yang mesra PN kerana ingin melihat Kerajaan Persekutuan yang stabil.

“Disebabkan itu juga kita menyokong mereka. Ia bukan bermakna kita cuba mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut. “Dengan mempunyai Kerajaan Persekutuan yang stabil, ia membolehkan ekonomi negara terus berkembang dengan baik dan sebagainya.

“Jadi cadangan untuk menandatangani perjanjian seperti ini bagi saya tidak perlu dan biarlah kita mempunyai kepercayaan terhadap satu sama lain,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung Parti Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata PN, BN dan GPS perlu mewujudkan satu gagasan bagi melambangkan kesatuan tiga parti itu.

Menurut Hamzah lagi, gagasan berkenaan dilihat perlu bagi mengekalkan permuafakatan politik ketika menghadapi PRU-15 supaya PN dapat terus memerintah Kerajaan Persekutuan di samping mengambil alih kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan.