Tiada kes baharu COVID-19 dilaporkan di Vietnam 21 hari berturut-turut

HANOI: Vietnam tidak melaporkan sebarang kes baharu COVID-19 dalam komuniti tempatan selama 21 hari berturut-turut dan jumlah kes kekal 271, kata Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk Pencegahan dan Pengawalan COVID-19 pada Khamis.

Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan dari jumlah itu, 131 adalah kes import dan mereka yang dikuarantin ketika tiba di negara ini.

Setakat ini 232 pesakit atau 86 peratus sudah pulih.

Seramai 39 lagi masih dirawat di pusat rawatan kesihatan negeri dan wilayah, kebanyakannya berada dalam keadaan stabil.

Terdapat 20,942 orang dikuarantin buat masa ini, termasuk 169 di hospital, 6,469 di pusat kuarantin lain dan 14,304 lagi di rumah. – Bernama