Tiada kes positif Covid-19 di Sarawak hari ini, Serian bertukar status kepada hijau

KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini. Jumlah kes positif kekal sebanyak 545 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan hari ini berkata seramai enam kes telah sembuh dan discaj dari Hospital.

“Daripada enam kes tersebut, empat kes adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua kes adalah dari Hospital Bintulu.

“Jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 470 kes atau 86.24 peratus,” jelasnya.

Seramai 58 kes sedang dirawat di Hospital. Dari jumlah itu, 44 kes di HUS, lapan kes di Hospital Sibu, empat kes di Hospital Bintulu dan dua kes di Hospital Miri.

Dalam pada itu, seramai 68 orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 58 kes masih menunggu
keputusan makmal.

Hari ini daerah Serian telah bertukar status kepada Hijau setelah tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Jumlah daerah berstatus kuning setakat hari ini sebanyak dua buah iaitu Kuching dan Sibu manakala daerah berstatus hijau adalah sebanyak 38 buah.