KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini. Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kekal seramai 549 kes.
Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini turut memaklumkan tiada kes baru yang sembuh dan discaj dari hospital.
“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal seramai 473 orang atau 86.16 peratus.
“59 kes sedang dirawat di hospital. Hospital Umum Sarawak (44 kes), Hospital Sibu (lapan kes), Hospital Bintulu (lima kes), Hospital Miri (dua kes),” kata JPBN.
Dalam pada itu, seramai 141 individu yang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 155 kes masih menunggu ujian makmal.
Mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), JPBN berkata, sebanyak 2,510 jumlah permohonan pergerakan antara Daerah telah diterima oleh 28 buah Ibu Pejabat Daerah Polis seluruh Sarawak menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,514 permohonan.
Tambahnya, daripada jumlah kumulatif tersebut, sebanyak 60,904 telah diluluskan, 5,610 ditolak.
“Pasukan pemantau telah memantau sebanyak 1,808 lokasi iaitu Pasaraya (218), Restoran (290), Kilang (18), Bank (128), Pejabat Kerajaan (62), Penjaja (171), Pasar Tani /Awam (98), Tempat Ibadah (127), Tempat Riadah (64), Tapak Pembinaan (18) dan lain-lain (614).
“Sehingga hari ini sebanyak 30,922 pemberitahuan sektor ekonomi yang telah dibuka diterima. Daripada jumlah tersebut, 22,372 adalah melalui atas talian dan 8,550 melalui email,” katanya.