Tiada kluster baharu hari ini

KUCHING: Tiada penambahan kluster baharu dilaporkan Sarawak, hari ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Tan Sri James Jemut Masing berkata, bagaimanapun masih terdapat empat kluster yang masih aktif.

“Antaranya adalah Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Greenhill, Kluster Wisma Saberkas yang kesemuanya di Kuching,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Tambahnya, terdapat dua kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Miri pada hari ini.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,043 orang atau 97.11 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.

“Bagi jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah kekal seramai 12 orang iaitu 10 kes di Hospital Umum Sarawak, satu kes masing-masing di Hospital Miri dan Hospital Bintulu,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu terdapat 16 individu dalam siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan dua PUI masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Hari ini juga, seramai 351 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 41 buah hotel dan SC Bukan Hotel adalah seramai 4,461 orang.

“Manakala, seramai 37,826 PUS telah tamat menjalani tempoh kurantin,” jelasnya.

Sebagai rekod, Daerah Serian dan Kuching kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu Serian (dua) dan Kuching (satu).

Sehubungan itu, 38 buah daerah lain kekal berstatus Hijau.

Suara Sarawak