Tiada kompromi anggota polis terlibat penyalahgunaan dadah

BINTULU: Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang didapati terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas.

“Kita tidak akan berkompromi dengan kes-kes sebegini kerana kita sebagai penguat kuasa dan kita sememangnya tahu kesan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat apatah lagi melibatkan anggota dan pegawai polis.

Saya ingatkan warga Ibu Pejabat Polis(IPD) Daerah Bintulu agar tidak sesekali terlibat dalam sebarang penyalahgunaan dadah kerana akibatnya buruk jika didapati bersalah,” katanya pada perhimpunan bulanan di perkarangan IPD Bintulu, di sini

Beliau, dalam pada itu, berharap di peringkat Ketua Bahagian dan penyelia memainkan peranan penting menyampai serta memperingari di peringkat bawah an berhubung perkara itu.

Perlulah kita menjaga integriti kita, seperti Ana sebelum ini saya selalu berpesan supaya kita tahu pegawai atau anggota kita tahu atau mengenali orang bawahan dan seliaan kita, ujarnya lagi.

Pada perhimpunan bulanan itu, Zulkipli turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 kepada seramai 23 pegawai kanan, pegawai pangkat rendah serta awam IPD Bintulu.

Beliau berharap anugerah tersebut dapat dijadikan sebagai pemangkin serta contoh atas kecemerlangan tugas yang telah ditunjukkan di samping pendorong dalam melaksanakan tugas secara efisien, cekap dan pantas.

Suara Sarawak