Tiada kompromi majikan menggaji Pati

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang mengambil pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk bekerja.

Pemangku Pengerusi JPBNS, Tan Sri James Jemut Masing berkata tindakan tersebut bukan sahaja dikenakan terhadap pemilik ladang malah melibatkan semua sektor yang lain.

“JPBNS tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang mengambil pekerja asing yang tidak sah, terutamanya mereka berisiko tinggi membawa dan menyebarkan virus Covid-19.

“Didapati kes positif di Daerah Serian dan Kuching beberapa hari lalu datang daripada pekerja asing tidak sah ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS hari ini.

Menurut Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri, setakat ini empat kes positif Covid-19 telah dikesan di Daerah Kuching dan Serian melibatkan Pati dan majikan terlibat telah dikenal pasti.

“Agensi kerajaan yang berkaitan telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.

Suara Sarawak