Tiada kompromi terhadap polis jika terlibat kegiatan salah laku

BINTULU: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis yang yang terlibat dalam jenayah, dadah atau kegiatan yang boleh mencemarkan integriti Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota yang terlibat kegiatan berkenaan kerana ia merupakan penyumbang kepada berlakunya insiden salah laku di kalangan polis.

Kita tidak akan berkompromi dengan kes-kes sebegini kerana kita sebagai penguat kuasa dan kita sememangnya tahu kesan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat apatah lagi melibatkan anggota dan pegawai polis, katanya.

Zulkipli berkata beliau sering mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya jangan sesekali terlibat dengan najis dadah kerana akibatnya buruk sehingga boleh dibuang kerja jika didapati bersalah.

Setakat ini, tiada terdapat di kalangan pegawai atau anggota kita di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu terlibat dalam jenayah penyalahgunaan najis dadah,ujarnya kepada Suara Sarawak ketika ditanya berkaitan penglibatan pegawai dan anggotanya dalam kegiatan terbabit.

SUPERINTENDEN ZULKIPLI SUHAILI…

Malah, tambahnya, dalam operasi Blue Devil, IPD Bintulu tidak mencatatkan sebarang penangkapan pegawai maupun anggota dalam kegiatan seumpama itu.

Beliau, dalam pada itu, berharap di peringkat Ketua Bahagian dan penyelia memainkan peranan penting menyampai serta memperingari di peringkat bawahan berhubung perkara itu.

Perlu bagi kita menjaga integriti kita, seperti sebelum ini saya selalu berpesan supaya kita tahu pegawai atau anggota kita atau mengenali orang bawahan dan seliaan kita, ujarnya lagi.

Baru – baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan melancarkan operasi khas dikenali sebagai Op Blue Devil bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga PDRM.

Operasi yang diadakan di seluruh negara itu bermula awal Ogos lalu akan menangkap mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati terlibat dengan najis dadah dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang terlibat.