DALAM politik, kerajaan dibentuk untuk mentadbir negeri atau negara bagi tempoh lima tahun — satu penggal setelah menang sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri.
Itu mandat suci yang diberikan oleh rakyat yang mengundi bagi memastikan sesebuah parti atau gabungan parti itu menang — diyakini dapat mentadbir negeri atau negara dengan baik. Balasannya, rakyat hanya mahu kerajaan mengotakan segala janji yang terkandung dalam buku manifesto pilihan raya masing-masing.
Projek rakyat mesti diutamakan! Tetapi, sesebuah kerajaan yang dibentuk seolah-olah tidak mampu bertahan untuk lima tahun atau selama 1,835 hari hanya disebabkan ada yang suka lompat parti — istilah yang turut digunakan sekarang katak politik.
Sebab itu, mana-mana pemimpin parti yang membentuk kerajaan atas majoriti mudah — bukan dua pertiga keseluruhan kerusi parliman atau kerusi Dewan Undangan Negeri dimenangi, belum mampu duduk selesa di kerusi empuk pak menteri. Makan tidak kenyang sementara tidur pula tidak lena.
Pada bila-bila masa, ahli parlimen mereka boleh beralih arah. Jika dipancing parti lawan dengan pelbagai hujah, momokan dan pujuk rayu, kerajaan yang dibentuk boleh runtuh.
Lihat sahaja bagaimana Langkah Sheraton menggegarkan politik negara. Akibat langkah keluar parti beramai-ramai ahli parlimen yang berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), kerajaan PH yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 tumbang.
Tercatat rekod hanya mampu mentadbir negara selama 22 bulan. Politik negara terumbang-ambing dan terpaksa melalui episod dua minggu mencari salah seorang ahli parlimen yang diyakini pada pandangan Yang di-Pertuan Agong mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Ketika negara mula berdepan dengan virus Covid-19, politik negara ketika itu begitu membimbangkan. Ramai yang ingin menjadi perdana menteri — kononnya mempunyai sejumlah sokongan ahli parlimen yang mencukupi.
Menang besar
Atas sebab itu, gabungan parti memerlukan kemenangan dua pertiga atau menang besar dalam pilihan raya. Jumlah majoriti tipis, telah membuktikan ia mampu menyuburkan aktiviti katak politik.
Melihat Sarawak misalnya, isu katak politik tidak membimbangkan kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja membentuk kerajaan negeri atas dasar menang dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), malah menang besar dengan bergaya. GPS menang 76 daripada 82 kerusi Dun Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada 18 Disember tahun lepas.
Bukti betapa kukuhnya sokongan rakyat terhadap wakil rakyat yang dipilih, yang diyakini mampu membawa kemakmuran dan kemajuan negeri ini hingga tarikh PRN-13 diumumkan kelak.
Di peringkat Persekutuan pula, PH menang PRU-14 (2018) setelah meraih majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan setelah menumbangkan Barisan Nasional (BN). PH terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara meraih 113 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 79 kerusi, PAS pula menang 18 kerusi, Parti Warisan Sabah (lapan); Parti Solidariti Tanah Airku (satu) dan Bebas (tiga). Jadi, untuk mengelak wujudnya katak politik, maka perlunya gabungan parti politik menang besar.
Sekarang rakyat seluruh negara lega kerana selepas ini tidak akan ada lagi katak politik wujud di negara ini. Ini kerana Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli parlimen lompat parti akan dikuat kuasa pada bila-bila masa. Sokongan melalui undi belah bahagian bermula pada jam 4.45 petang Khamis lepas, iaitu 209 ahli parlimen bersetuju adalah bukti ahli parlimen juga mahu perubahan bernas dalam politik negara. Seluruh negara menunggu berita itu.
Selepas ini, RUU itu akan dipersembah untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan. Jadi, katak politik yang mampu meruntuhkan kerajaan, selepas ini akan mati. Tiada lagi ruang untuk mereka aktif melompat-lompat dari satu parti ke satu parti lain atas alasan mendapat sokongan akar umbi.
Setelah diluluskan di Dewan Rakyat, tular pula nama 11 ahli parlimen yang tidak hadir untuk sesi undi belah bahagian. Ada yang berada di luar negara untuk tugasan rasmi dan ada juga yang memberikan apa-apa alasan atas ketidakhadiran.
Dalam pada itu, agak menarik apabila salah seorang yang tidak hadir iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abdul Fasal memaklumkan dia tidak hadir sebagai tanda protes. Memetik Malaysia Kini, ahli parlimen dari parti Bersatu itu memaklumkan RUU itu sepatutnya dibentangkan selepas PRU. Alasannya, kerajaan sedia ada sekarang ditadbir oleh ahli parlimen yang melompat ke parti lain. Katanya dipetik Malaysia Kini: “Saya tidak menghadiri persidangan kerana tidak bersetuju dengan semua ini.”
Sementara itu, mantan ketua menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal memberitahu, kalau bukan disebabkan katak politik — tiga wakil rakyat keluar gabungan pada 2018, beliau masih lagi berada dalam Kerajaan Sabah hari ini. Memetik Astro Awani, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, “Saya antara mangsanya (wakil rakyat lompat parti).”
Politik stabil
RUU itu begitu diyakini dapat menghapuskan budaya lompat parti, sekali gus menjadi instrumen penting kestabilan politik, sekali gus ke arah negara yang stabil dan paling utama kestabilan ekonomi. Cuba tanya kepada rakyat yang mengundi tentang pandangan mereka mengenai katak politik.
Jawapannya pasti mereka terlalu kecewa. Tidak kira mereka ahli manamana parti sekali pun — kerajaan atau pembangkang, mereka pasti kecewa melihat wakil rakyat yang mereka pilih bertukar baju parti.
Tindakan katak parti ini diibarat sebagai perbuatan khianat terhadap mandat yang diberikan oleh pengundi/rakyat dalam bentuk pangkah “X” pada kertas undi pilihan raya.
Sebelum ini, katak parti seolah-olah menunggu masa untuk hidup selepas pilihan raya. Selepas ini, ia tidak akan wujud lagi. Hukum wakil rakyat yang lompat parti. Ia bukan perkara main-main kerana melibatkan negara. Semua kerajaan negeri juga perlu menguatkuasakan RUU ini bagi memastikan tiada ahli Dewan Undangan Negeri cuba untuk menyuburkan langkah lompat parti.
Ketika negara panas dengan RUU antilompat parti di Dewan Rakyat, Dewan Bahasa dan Pustaka berkongsi peribahasa “Takkan ada katak beranakkan ular” di Telegram DBP. Maksudnya, orang yang pengecut takkan jadi orang yang berani. Apa-apa pun, ia dianggap oleh netizen sekadar hiburan untuk menceriakan suasana.