KUCHING: Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di luar bangunan berkuat kuasa pada 1 Mei ini, kata Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, ia dengan mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan ruang pengudaraan atau ventilasinya adalah baik.
“Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka ini adalah atas pilihan tetapi ia amat digalakkan kerana mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun menurut Khairy, KKM menggalakkan agar orang ramai terus mengamalkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak.
Dalam pada itu, Khairy memberitahu pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan termasuk gedung beli-belah dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Tegasnya, penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan peraturan-peraturan di bawahnya akan dikenakan ke atas individu yang gagal mematuhi arahan pemakaian pelitup muka ini.
Khairy juga memberitahu penjarakan fizikal antara individu atau kumpulan juga tidak lagi diperlukan.
Tambah Khairy, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi Covid-19 di malaysia ketika ini selepas memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April lalu.