ARTIKEL

Tiada lagi sesak melampau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUA puluh hari lagi, Aidilfitri dirayakan. Yang pasti, sudah ada perancangan untuk balik kampung untuk berhari raya bersama-sama keluarga pada malam dan pagi Aidilfitri. Sebab, menyambut Aidilfitri di kampung berbanding di bandar agak bebeza. Kemeriahannya lain. Hari ini, untuk ke kampung amat mudah. Jaringan jalan raya kebanyakannya sudah baik. Jika dahulu, kenderaan terpaksa ditinggalkan di seberang sungai. Hari ini, kenderaan sudah boleh diparkir di bawah rumah — kebanyakan rumah di kampung bertiang tinggi.

Dahulu, sepenuhnya bergantung pada pengangkutan laut dan sungai. Kadang-kadang memakan masa sehari untuk balik ke kampung, dan sehari lagi untuk kembali ke bandar. Ini pernah dialami kebanyakan orang yang balik ke kampung pada setiap perayaan — Aidilfitri, Gawai Dayak, Krismas serta Tahun Baharu Cina. Saya sendiri merasai pengalaman balik kampung bukan menggunakan kereta ataupun bas. Seawal jam 6:00 pagi, sudah bersedia di perhentian bas. Seboleh mungkin menggunakan bas pertama bagi mengelakkan terlewat sampai ke pangkalan ekspres di Pending, Kuching.

Itu bas pertama dari Kampung Semerah Padi (kampung setinggan dekat Jambatan Gantung) menuju stesen bas depan Electra House. Kemudian, berjalan laju dalam lima minit menuju ke satu stesen bas dekat tepi Sungai Sarawak. Bas berwarna hijau untuk ke Pending. Selain membawa beg yang agak besar, bapa dan ibu turut sibuk memastikan kami tidak terlewat. Yang utama kami tiga beradik selamat. Bas hijau yang kami naiki mesti tidak boleh lewat sampai ke perhentian bas dekat pangkalan ekspres – tidak jauh dari pejabat Polis Marin. Kalau tidak, mungkin tiket ekspres kehabisan. Sebab ramai yang ingin pulang ke kampung. Kadang-kadang bapa membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kehabisan. Itu perjalanan pertama menggunakan pengangkutan darat.

Perjalanan kedua bermula sekitar jam 8:00 pagi. Ekspres akan mula belayar setelah semua penumpang mengambil tempat duduk masing- masing. Sebelum itu, bapa sibuk menguruskan beg yang kami bawa. Ibu menunggu di atas jeti konkrit menunggu bapa membawa kami tiga beradik seorang demi seorang masuk ke dalam ekspres. Perjalanan ke kampung memang agak lama. Sekitar jam 12:30 atau 1:00 tengah hari baru sampai ke jeti ekspres Sadong Jaya. Sebelum itu, singgah menurunkan penumpang di jeti Sebangan. Untuk ke Sadong Jaya, hanya ada satu ekspres dari Kuching dan satu lagi ekspres dari Simunjan, yang kemudian singgah di Sadong Jaya untuk mengambil penumpang. Itu perjalanan kedua. Perjalanan ketiga kami perlu berjalan kaki selama satu setengah jam untuk sampai ke rumah datuk. Biasanya Pak Usu akan menanti kedatangan kami di jeti ekspres Sadong Jaya.

Perjalanan yang sama diulang ketika kami hendak pulang ke Kuching. Babak perjalanan tetap sama bertahun-tahun. Sebab itu, untuk balik ke kampuing ketika itu perlukan perancangan rapi — mungkin berbulan-bulan merancang. Hari ini, untuk ke Sadong Jaya dari Kuching cuma memakan masa satu jam. Malah, ada yang kurang satu jam. Tidak hairan apabila ada yang dapat bersarapan di Sadong Jaya, kemudian tengah hari sudah kembali ke Kuching. Sebab jaringan jalan raya semakin baik. Tiada lagi feri untuk menyeberangi Batang Samarahan. Jadual pergerakan feri bergantung pada air pasang mesti diketahui.

Jika bermotosikal, motosikal dibawa menaiki perahu jika feri tidak beroperasi. Itu sebelum ada Jambatan Batang Samarahan dibenar digunkana pertengahan 2018. Kini, perjalanan dari Kuching ke Sadong Jaya melalui Kota Samarahan semakin selesa dan lancar. Penggantian lima bulatan di jalan Kuching (dari Stutong) hingga ke Kota Samarahan (bulatan Institut Pentadbiran Awam Negara (Intan) yang dijangka siap November depan melancarkan lagi perjalanan. Sebelum ini, laluan ini menjadi bahan kritikan pengguna di media sosial ekoran pernah berlaku kesesakan luar biasa. Jemarahan istilah yang digunakan yang ditujukan kepada kerajaan.

Istilah ini timbul disebabkan ada yang berada dalam kesesakan sekitar tiga jam. Kadang-kadang ada yang terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan. Seawal jam 5:30 pagi sudah bergerak dari Samarahan untuk ke Kuching. Seorang guru di Kuching ada memberitahu saya: “Seorang murid terpaksa bergerak dari rumah di Samarahan seawal jam 5:00 pagi. Dia, bapa dan ibunya sempat solat subuh di surau sekolah. “Dan mereka akan tiba di rumah pada jam 8:00 malam. Di dalam kereta si bapa mengajar anaknya mengaji,” terang guru tadi. Pembukaan lampu isyarat di dua bulatan sudah menunjukkan impak positif. Perjalanan semakin lancar.

Kesesakan luar biasa juga dapat diatasi. Dijangka kesesakan selesai 60 peratus apabila semua lampu isyarat di tiga lagi bulatan disiapkan November depan. Siapnya laluan Transit Aliran Automasi (ART) yang akan membawa penumpang dari Kuching ke Kota Samarahan kelak juga akan mengatasi masalah kesesakan di Samarahan. Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos optimis masalah kesesakan itu dapat dikurangkan apabila siapnya pembinaan ART, yang pelaksanaan fasa satunya dijangka bermula tahun ini. “Dijangkakan sekitar 50 hingga 60 peratus masalah kesesakan ini selesai apabila siapnya ART,” katanya. Walaupun akan ada sistem pengangkutan moden, jalan utama di Kota Samarahan terutama menuju ke Sadong Jaya juga harus dinaik taraf. Ramai yang bersetuju jalan ini perlu dinaik taraf daripada dua lorong kepada empat lorong bagi memastikan perjalanan di sepanjang jalan pesisir lebih selesa. Kita yakin kerajaan sudah ada perancangan itu, cuma menunggu masa untuk dilaksanakan.

Diharapkan akan ada pengumuman sedemikian. Ini penting sebab jumlah kenderaan di jalan raya semakin banyak. Seperti kata Peter Minos, terdapat kira-kira 50,000 rumah di Kota Samarahan dan populasi penduduk di hab pendidikan itu mencecah 300,000 jiwa. “Berdasarkan survei, setiap rumah mempunyai sekurang- kurangnya dua kenderaan dan jika 50,000 rumah, setiap rumah mempunyai dua kenderaan, maka terdapat lebih kurang 100,000 kenderaan di jantung kota pendidikan itu.” Ini harus diambil perhatian. Dengan siapnya jalan pesisir kelak, jumlah kenderaan juga bertambah. Tidak dapat tidak, jalan sedia ada perlu diperbesarkan bagi menampung jumlah kenderaan. Jangan tunggu 10 tahun lagi!

BERITA LAIN

Sasaran 70 emas realistik

SEBAGAI tuan rumah dan selaku bekas juara tiga kali berturut-turut (1990, 1992 dan 1994), adalah wajar untuk kontinjen Sarawak mengimpikan kejuaraan keempat temasya sukan berprestij

PETROS, PETRONAS dan kejutan gembira

RUPA-RUPANYA masih ada yang tidak berpuas hati apabila Sarawak menggerakkan usaha dan berjaya dalam menuntut haknya terhadap pemilikan padang dan lombong minyak dan gas di

Sihat sebelum sakit

MANFAATKAN lima perkara sebelum lima perkara. Pertama, muda sebelum tua; kedua, sihat sebelum sakit; ketiga, kaya sebelum miskin; keempat, lapang sebelum sibuk dan kelima, hidup

Azam baharu hijrah

NABI Muhammad SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah. Di situ bermula kisah Muhajirin dan Ansar bertaut persaudaraan, dan berkembangnya umat Islam lantaran tersebar ke

Ikhlas belajar

SEBELUM memasuki alam pekerjaan atau mengeluarkan titih peluh menjana pendapatan, sudah pasti terdapat mahasiswa mempunyai perancangan kerjaya sendiri. Ada antara mereka mengidamkan untuk bekerja mengikut

Jutawan 60 tahun

PENGARAH Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Sarawak Aminuddin Abdul Aziz mendedahkan kepada Suara Sarawak — di Sarawak sekitar 1,700 daripada 850,000 pencarum daripada pelbagai

BERITA TERBARU