KUCHING: Tiada sebab untuk syarikat penerbangan mengenakan kadar tambang yang tinggi susulan Sarawak mempertingkat kekerapan penerbangan mingguan daripada 89 kepada 223 penerbangan bermula 1 November ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, semua syarikat penerbangan terlibat telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut bagi mengesahkan jadual penerbangan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
“Dengan ini, penerbangan dari luar Sarawak ke Kuching meningkat daripada 44 kali kepada 114 kali seminggu, manakala penerbangan ke Miri meningkat daripada 19 kali kepada 40 kali seminggu.
“Sementara bagi Sibu, jumlah penerbangan meningkat daripada lapan kali kepada 31 kali seminggu, Bintulu (enam kali kepada 24 kali seminggu), Limbang dan Lawas (lima kali kepada tujuh kali seminggu) dan Mulu kekal tujuh kali seminggu,” katanya pada Khamis.
Tambahnya, sekarang terpulang kepada syarikat penerbangan – Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Berhad, Malindo Airways Sdn Bhd, Scoot Tigerair Pte Ltd dan MASwings Sdn Bhd untuk memulakan pengoperasian kekerapan baharu penerbangan yang dijadual mereka.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) percaya dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini, ia akan mengurangkan harga tambang penerbangan. “Kami dimaklumkan oleh syarikat penerbangan untuk membolehkan penumpang mendapatkan kadar tambang murah, mereka perlu merancang perjalanan serta menempah penerbangan lebih awal,” ujarnya.
Katanya lagi, pada masa ini tiada sekatan ke atas kekerapan penerbangan domestik dalam Sarawak oleh MOTS dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
“Bagaimanapun, syarikat penerbangan dinasihati untuk memohon terus kepada MAVCOM jika mereka masih perlu menambah lagi kekerapan penerbangan domestik berikutan permintaan tinggi daripada penumpang.
“Kami ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial mereka dalam masa sukar ini dengan tidak mengambil kesempatan ke atas penumpang yang sudah mengalami kesusahan,” tegasnya.
Beliau mengingatkan semua penumpang dan pelancong yang datang ke Sarawak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPBN.
Jelasnya, butiran terperinci akan dimuat naik di laman web MOTS di mots@sarawak. gov.my sebaik maklumat diterima dari semua syarikat penerbangan menerusi MAVCOM.
Dalam pada itu JPBN pada 1 Oktober lalu telah meluluskan kekerapan penerbangan masuk ke Sarawak daripada 22 kepada 89 penerbangan seminggu.
Walaupun sudah ditingkatkan, MOTS masih menerima aduan daripada orang awam memohon kerajaan untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan ke Sarawak.
MOTS telah mengkaji maklum balas daripada orang ramai dan mencadangkan kepada JPBNS, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MAVCOM pada 25 Oktober untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ini daripada 89 kepada 223 seminggu.



