DEBAK: Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) tiada masalah dilakukan pada masa ini, biarpun ia mungkin dijalankan dalam keadaan terbatas.
Ahli Majlis Tertinggi PBB Mohammad Razi Sitam berkata, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedikit ragu-ragu hendak mengadakan pilihan raya.
“Bagaimanapun, penggal Dun Sarawak semakin ke penghujungnya dan PRN-12 harus dianggap akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang walaupun kita berhadapan dengan Covid-19.
“Saya berpendapat jika PRN-12 diadakan dalam masa terdekat sekali pun tidak menjadi masalah dengan bilangan kes yang tidak begitu banyak di negeri ini.
“Namun begitu, kita harus akur jika perjalanan PRN-12 berlaku dalam keadaan yang sangat terbatas,” katanya pada program Sarawak Kita Empun (SKE) Peringkat Dun Saribas di Dewan Perpaduan, semalam.

Sungguhpun demikian, Adun Saribas itu menjelaskan keputusan akhir diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) termasuk SPR.
“Saya percaya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi akan menjadi penanda aras kepada SPR untuk mengadakan PRN-12,” ujarnya.
Razi menyifatkan PRN-12 sangat penting kerana ia bukan sekadar untuk menang, tetapi menang dengan majoriti yang lebih besar dan lebih baik.
“Bukan sekadar menjadikan Sarawak kita empun, tetapi Saribas juga akan terus menjadi milik kita (GPS/PBB) sampai bila-bila.
“Saya yakin, usaha seperti ini akan merealisasikan impian tersebut dan Saribas akan menjadi kubu kuat PBB pada PRN-12. Insya-Allah,” jelasnya.
Beliau berterima kasih kepada Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB yang sanggup membawa SKE ke sini untuk menaikkan semangat jentera parti khususnya wanita.
SKE Peringkat Dun Saribas disertai lebih 400 jentera wanita PBB yang diisi dengan diskusi tentang lanskap politik semasa, hak Sarawak, norma baharu berkempen dan sesi dialog serta pelbagai lagi.
Timbalan Ketua Wanita II Pergerakan Wanita PBB merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga Penasihat di Pejabat Ketua Menteri, Pengerusi SKE merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dayang Nurfizawaty Abang Abdul Karim turut hadir sama.