KISAH ada pekerja asing dilayan dengan buruk seolah- olah seperti hamba abdi bukan asing di negara ini. Berita tentang ada majikan yang tidak membayar gaji, menyimpan pasport sepanjang masa, mengeksploitasi pekerja, dan tidak memberi cuti bukan luar biasa.
Malah, ada pekerja, termasuk pembantu rumah bekerja dari awal pagi sampai tengah malam. Pasti ada daripada kita masih ingat akan nasib yang menimpa Nirmala Bonat pada 2004.
Pembantu rumah warga Indonesia itu didera dan dicederakan beberapa kali oleh majikannya, antaranya menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya
. Adelina Lisao pada 2018 pula mengalami kecederaan akibat didera secara fizikal dan dibiarkan tidur di tempat letak kereta di rumah majikannya sebelum mangsa diselamatkan.
Bagaimanapun, wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan organ pada hari berikutnya selepas dimasukkan ke hospital.
MH, seorang lagi mangsa melecur badannya akibat dicurah air panas dan dipercayai dibiarkan berlapar dan didera dengan teruk oleh majikannya sewaktu tempoh dia bekerja. Anehnya, majikan ini ialah mereka yang berpendidikan tinggi, berpendapatan lumayan dan beragama.
Ke manakah perginya ajaran agama dan nilai kemanusiaan mereka? Jadi, mengapakah majikan itu memperlakukan pekerja mereka dengan kejam? Mengapakah mereka bersikap lebih teruk daripada binatang? Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia V.
Sivakumar memberi amaran kepada semua majikan agar memastikan tempat penginapan pekerja warga asing sentiasa dalam keadaan selesa dan bukannya seperti kandang lembu atau kerbau. Mengapakah ada majikan di negara ini tidak ada hati perut? Mengapakah pekerja asing dilayan seperti hamba abdi atau lebih teruk daripada itu? Tidakkah majikan terbabit terfikir, tanpa pekerja asing itu, syarikatnya tidak akan dapat mengaut keuntungan?
Pekerja asing itulah yang memerahkan tenaga empat kerat mereka untuk menyumbang kepada produktiviti syarikat. Dan pekerja itu juga yang memastikan hal ehwal harian keluarga terjaga sementara mereka dapat menumpukan perhatian kepada tugas di tempat kerja.
Corak pemikiran majikan yang berkelas rendah menjadi punca. Pekerja asing yang mencari rezeki di negara ini sepatutnya dilayan seperti manusia. Artikel 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 menyatakan bahawa setiap orang ada hak untuk bekerja, bebas mencari pekerjaan yang diingini oleh mereka, bekerja dalam suasana yang baik dan adil serta dilindungi daripada pengangguran.
Artikel 23 berkenaan juga menyatakan bahawa setiap orang memiliki hak untuk menerima upah yang sama tanpa sebarang diskriminasi, menerima jumlah pendapatan yang sesuai bagi menampung kehidupan dirinya, menampung keluarganya serta berhak untuk mendapatkan perlindungan sosial.
Bagi saya, majikan yang melayan pekerja asing dengan buruk, tidak ada nilai kemanusiaan dan empati. Mereka sepatutnya meletakkan diri mereka dalam kedudukan pekerja asing terbabit. Pekerja asing ini berkorban dari banyak segi. Mereka terpaksa membayar ejen, meninggalkan keluarga dan kampung halaman dengan harapan tinggi, bahawa mereka dapat meraih pendapatan untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
Bayangkan, pernah dilaporkan bagaimana ada majikan di negara ini menjadikan ruang di bawah tangki air sebagai tempat penginapan mereka. Tempat penginapan mereka seolah-olah seperti kandang lembu atau kerbau. Ada yang menempatkan pekerja itu di dalam kontena yang diubah suai sebagai kabin, selain satu bilik menempatkan pekerja melebihi kapasiti sebenar.
Majikan terbabit tidak menyediakan kemudahan asas seperti tilam, almari, peti kecemasan. Tahap kebersihan penginapan dan kawasan sekitarnya amat menjijikkan. Perlu disedari bahawa keadaan penginapan pekerja asing yang tidak mematuhi syarat ditetapkan akan membahayakan pekerja terutama apabila berlaku pandemik atau bencana yang tidak diingini. Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain terbabit perlu membuat pemantauan dengan lebih kerap.
Langkah ini perlu untuk pastikan pekerja asing yang masuk dapat penempatan yang baik serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak majikan. Pemeriksaan secara rawak terhadap pekerja, termasuk pekerja domestik perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan majikan tidak mengambil mudah terhadap pekerja mereka. Kerajaan perlu bertindak lebih serius untuk mengekang salah laku dan penderaan yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja asing di negara ini.
Sistem pemeriksaan terhadap pekerja asing dan usaha melindungi kebajikan mereka perlu ditambah baik. Tindakan tegas perlu diambil termasuk mengheret mereka ke mahkamah, dan tidak membenarkan mereka menggaji pekerja asing jika mereka sudah didapati bersalah oleh mahkamah. Jangan lupa negara dan dunia luar memerhati kita. Imej dan reputasi kita tercalar oleh sikap jelek segelintir majikan di negara ini.
Malah, mencetuskan ketegangan hubungan dengan negara terbabit. Bagi majikan pula, mereka tidak harus menganggap diri sebagai “boss” yang berkepala besar. Mereka tidak harus angkuh dan sombong hanya kerana mereka ada kedudukan dan wang. Berempati dan bersimpatilah terhadap nasib golongan ini. Mereka perlu dilayan dengan penuh kemanusiaan, adil dan baik.
Kepada majikan yang suka mendera dan menyeksa pekerja asing, berfikirlah sejenak. Bagaimanakah perasaan anda jika majikan di luar negara memperlakukan hal yang sama terhadap anak atau saudara mara anda atau rakyat negara ini? Jika terkena batang hidung sendiri, barulah kita sedar. Majikan perlu menghormati pekerja asing sebagaimana mereka menghormati pekerja warganegara ini. Tidak harus ada diskriminasi atau perbezaan layanan. Kita perlu menjaga nama baik diri dan negara ini. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.