Tiada pertambahan kes positif

KUCHING: Tiada pertambahan kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak, setakat kelmarin.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini kekal sebanyak 678 kes.

JPBNS mendedahkan bahawa, tidak terdapat pertambahan kes daripada 10 kluster yang masih aktif di negeri ini.

“Bagi jumlah kes untuk Kluster Syarikat Kejuruteraaan (lapan), Kluster Mambong (tujuh), Kluster Pusat Perubatan dan Kluster Jupiter (tiga) manakala Kluster Pasar Stutong (tujuh).

“Bagi kes Kluster Jeti Kuching (dua), Kluster Sentosa (31), Kluster PUI Melbourne (tiga), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (dua) dan Kluster Pasar Satok (empat),” jelasnya.

JPBNS juga memberitahu, terdapat tiga kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan didiscaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS) kelmarin.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang pulih dan dibenarkan discaj setakat 2 Ogos seramai 594 orang atau 87.61 peratus.

“Seramai 65 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi dan jumlah kematian kekal 19 orang atau 2.80 peratus,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga, setakat semalam terdapat 10 PUI baharu dilaporkan manakala lapan kes masih menunggu ujian makmal.

“Pada hari ini (kelmarin), 121 individu dalam pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 13 hotel adalah seramai 756 orang.

“Manakala seramai 19,372 PUS tamat menjalani tempoh kuarantin,” tegas JPBNS.

Suara Sarawak