PUTRAJAYA: Tiada pesakit Covid19 yang membunuh diri, maklum Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berhubung laporan kematian seorang pesakit di sebuah hospital semalam.
Sebaliknya, menurut Dr Noor Hisham, Pesakit Dalam Pemantauan (PUI) tersebut disahkan negatif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan ke atasnya. “Ia (kes bunuh diri) bukan membabitkan pesakit Covid-19, mangsa disahkan negatif. Jadi ia (kes bunuh diri) bukan melibatkan pesakit Covid19. Ya, ia kes bunuh diri seperti laporan, tetapi tidak melibatkan pesakit Covid-19.
“Kami menjalankan ujian saringan kepada sesiapa yang dimasukkan ke ICU, jadi mungkin terdapat penyakit lain atau jangkitan silang dan sebagainya. “Mangsa disahkan negatif, dan dia bukan pesakit Covid-19. Memang terdapat kes bunuh diri tetapi bukan pesakit Covid-19,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, seorang pesakit warga emas berumur 62 tahun dilaporkan membunuh diri di tandas sebuah hospital. Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seorang pegawai polis yang sedang bertugas di hospital berkenaan menerima makluman daripada jururawat memaklumkan kes berkenaan pada jam 7.40 malam Jumaat.